Bihun sup siam
Masa menaip ni
Masih terasa kesedapan bihun sup ni
Ada rasa masam-masam dan pedas
Rangup lobak asin bila tergigit
Sedaplah sangat pada selera kami anak beranak
Makan sup panaih berpeluh - peluh
Set menu bihun sup siam...cream caramel tu bukan gengnya yer
Kalau rasa tekak tak berapa sedap
Kalau selera berkurang
Menu ni memang sesuai sangat
Nak memasaknya pun mudah
Tak perlu banyak rempah ratus
Makan dengan kueyteow pun sedap ni
Mangkuk yang memberikan kepuasan ...cili flakes menambah perisa
Resepi yang enak tak boleh disimpan sorang-sorang
Mailah kami nak titipkan disini
Boleh cuba kalau suka....
Set lengkap bihun sup Siam
BIHUN SUP SIAM
Resepi :Aniza Saidin (Aniza little kitchen)
Bahan A
Untuk Tumisan
3 biji bawang merah - dihiris
2 inci kayu manis
4 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
2 sudu minyak bawang putih untuk menumis
Bahan B
Dikisar bersama
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu teh lada hitam
Bahan C
1/2 kilo tulang ayam
1 keping dada ayam - kalau suka
2 batang akar ketumbar
1 liter air - boleh tambah ikut kesesuaian
Bahan D
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap cair
Gula dan garam secukup rasa
Bahan E
Kalau suka
1 keping dada ayam - dihiris halus
1 sudu teh kicap cair
1/2 sudu teh lada sulah
Bahan Sampingan
Bihun secukupnya - dicelur hingga lembut
Isi ayam yang dicarikkan halus
Cili flakes
Kacang tanah digoreng dan ditumbuk kasar
Lobak asin - dicincang halus
Kangkung - dicelur
Taugeh - dicelur
Daun ketumbar
Limau kasturi
Bawang putih - dicincang dan digoreng
Panaskan minyak dalam kuali, buat dulu bawang putih goreng
Goreng bawang putih yang dicincang hingga keperangan, angkat dan toskan
Keluarkan anggaran 2 sudu minyak dan masukkan kedalam periuk berasingan
Dengan sedikit lebihan minyak bawang putih didalam kuali tadi , gorengkan Bahan E hingga isi ayam masak dan kering airnya. Angkat dan ketepikan
Panaskan kembali minyak bawang putih didalam periuk dan tumiskan Bahan A
Goreng hingga bawang agak garing dan wangi, masukkan Bahan B kacau hingga rempah agak garing dan berbau wangi.
Masukkan Bahan C dan perasakan dengan Bahan D
Masak hingga kuah mendidih dan biarkan merenih anggaran 30 minit
Keluarkan dada ayam dan carikkan halus ataupun siat menggunakan garpu
Ambil bihun yang sudah dicelur, hidangkan bersama Bahan sampingan yang lainnya dan curahkan sup panas keatas bihun tadi.
Perahkan limau kasturi untuk mendapatkan rasa masam pada sup
Lobak asin, cili flakes, bawang goreng dan cili potong bersos ikan
Tip kami :
Boleh guna daging dan tulang menggantikan ayam
Kami suka guna kaki dan leher ayam untuk dibuat sup
Bahan E sebagai tambahan menu sebab kami tak berapa suka isi ayam yang dicarik
Boleh juga dihidangkan bersama sambal kicap
Resepi asal menggunakan gula siam atau gula untuk buat somtam tu
Cream cramel sebagai pemanis mulut
Sebab ada cream caramel terpampang disitu
Mai la kami titipkan juga resepinya disini
Dah banyak kali guna resepi ni
Tak mau susahkan adik-adik dok selongkar gobok kami nak cari resepi
Cubalah yer kalau suka....
Cream caramel
CREAM CARAMEL
Resepi : Aniza Little Kitchen
Loyang 8 inci atau 12 mould kecil
Anggaran 900 ml cecair
Bahan A
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat manis
1 1/2 cawan air
4 biji telur gred A
1/4 sudu teh vanila essen
Bahan B
Gula hangus
1/4 cawan gula
2 sudu besar air
Sediakan gula hangus dengan mecampurkan gula dan air dan masakkan dengan api perlahan hingga gula mencair dan bertukar perang
Alihkan dengan segera kedalam loyang atau mould
Untuk menyediakan adunan cream caramel campurkan semuanya dan kacau perlahan- lahan hingga susu bercampur rata dengan susu. Tapiskan dua kali untuk mengelakkan bau hanyir telur
Curahkan kedalam gula hangus yang sudah mengeras
Kukus anggaran 30 minit atau lebih dengan api yang sederhana
Sejukkan dahulu sebelum dikeluarkan dari bekas atau dihidangkan
Tip kami :
Boleh digantikan susu cair dengan susu segar
Sediakan terus gula didalam bekas yang akan digunakan untuk mengukus untuk memudahkan proses
Boleh ditambah satu sudu besar tepung custard untuk warna yang sedikit kekuningan
Kukus dengan api kuat boleh membuatkan karamel mengerutu
Terlebih masa mengukus menyebabkan air gula naik dan karamel mengembang
Cadangan hidangan:
Sesuai dihidangkan sejuk
Boleh ditambah buah-buahan campuran semasa menghidang
Sangat lembut dan mulus
SELAMAT MENCUBA
No comments:
Post a Comment