Monday 31 October 2016

LONTONG DAN TEMAN-TEMANNYA










   Lontong dan teman-temannya 




Pulang keruangan yang dirindui 
Rumah kesuma yang lama ditinggalkan 
Kami cuma pulang bertiga
Bersama anak solehah Sara Hanum
Rindunya nak berlama - lama disini
Menyedut udara yang nyaman
Nak menikmati sarapan sambil ditemani kicauan burung







   Ruangan yang dirindui 







  Lontong origional yang sedap dan lembut





Paginya hari sebelum bertolak pulang
En.Suami belikan lontong ni
Kegemarannya ni
Lontong yang sangat lembut dan wangi
Katanya dibuat oleh orang Indonesia 
Kami rasanya tentu dari daerah Jawa
Kalau hari raya kami selalunya akan buat sendiri lontong ni
Kat kampung ada daun pisang awak yang sesuai untuk dijadikan keronsong 
Kami suka bau daun pisang yang melekat pada lontong
Unik dan tersendiri 







   Set hidangan kuning kegemaran kami...kami beli asing- asing tapi cantik pulak bila digandingkan                             bersama







   Kuah lontong Semarang kegemaran semua isi rumah





LONTONG SEMARANG
Resepi asal : Kak Gee
Di olah : Aniza little kitchen ( Aniza Saidin)

Bahan A
Dikisar bersama
2 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci belacan
4 biji buah keras
2 inci kunyit hidup 
10 biji cilipadi
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan B
2 biji cili merah -dihiris halus
2 batang serai- diketuk
1/2 biji terung- dipotong nipis
1/2 biji petola- dipotong nipis
1 potong nangka muda- direbus
Segengam daun belinjau
5 helai kobis
Sekeping tempe 
Sekeping tauhu

Bahan C
2 cawan santan pekat
2 cawan santan cair- boleh tambah kalau terlalu pekat
Daging  atau tulang ayam atau udang
Garam secukup rasa

Panaskan periuk dan tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan daging atau ayam dan kacau seketika atau hingga dagingnya kecut. Masukkan serai yang telah diketuk. Kemudian masukkan sedikit air dan biarlah daging empuk atau ayam cukup masak. 
Masukkan sayur bermula dengan yang keras iaitu terung , nangka dan petola. Masukkan semua sayur lain setelah terung empuk.
Kemudian masukkan pula 2 cawan santan, kacau hingga rata dan biarkan mendidih. Bila sudah mendidih, pelahankan api dan reneh seketika. Bubuhlah garam dan sedikit serbuk perasa kalau suka. Kalau tidak bubuhlah sedikit gula.Kemudian taburkan cili merah yang telah dihiris halus, kacau dan angkat. Sedia untuk dihidangkan 







  Sambal sotong kembang memang ngam dengan kuah lontong





SAMBAL TUMIS SOTONG KEMBANG
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)

Bahan A
2 ekor sotong kembang sederhana besar
2 sudu besar tepung gandum

Bahan B
Dikisar bersama
5 biji bawang merah 
1 labu bawang besar 
1 ulas bawang putih
½ inci belacan bakar boleh ganti dengan pati ikan bilis

Bahan C
20 biji cili kering direbus dan dikisar
1 sudu kecil pes asam jawa
1 sudu besar gula- boleh tambah kalau suka manis

Bahan D
Garam secukup rasa
I labu bawang besar dihiris
1 sudu kicap pekat manis
garam secukup rasa
1/4 cawan minyak untuk menumis

Sotong dibersihkan dan direndam dalam tepung gandum anggaran 15 minit
Basuh hingga bersih dan toskan. Proses ini penting untuk menghilangkan hanyir sotong 
Masukkan kedalam kuali dan nyalakan api perlahan
Sotong akan keluarkan air jadi masak hingga airnya kering 
Setelah semua air sotong kering padamkan api
Sejukkan sotong sebentar barulah dipotong kecil  ikut kesukaan
Panaskan minyak di dalam kuali.
Tumis bahan B hingga naik bau.
Masukkan cili kisar dan masak lagi dengan api perlahan hingga terbit minyak.
Masukkan gula biarkan sebentar, masukkan asam jawa
Masukkan sotong dan bahan D, kacau sebentar hingga mendidih dan  padamkan api.
Sotong tidak boleh dimasak terlalu lama nanti sotong akan menjadi keras















 
    Serunding kelapa menambahkan rasa





SERUNDING KELAPA JAWA
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan A
1 biji kelapa parut putih
2 sudu makan udang kering 

Bahan B
Disangai dan dikisar bersama
2 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci lengkuas
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 batang serai - dihiris nipis
1 sudu besar ketumbar biji
1/2 sudu besar jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Bahan C
Sedikit air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Sangai kelapa parut hingga kering dan kekuningan dan ketepikan
Sangai pulak udang kering dan ditumbuk halus
Panaskan minyak dan tumis bahan B hingga kering dan wangi
Kacau hingga terbit minyak
Masukkan udang kering dan kacau lagi
Masukkan bahan C dan masakkan hingga agak kering
Akhir sekali masukkan kelapa parut yang siap digoreng tadi
Kacau rata dan rasakan garam dan gula
Kacau hingga sambal kelapa agak kering, padamkan api
Sedia dihidangkan bersama nasi impit dan lontong







   Rendang Padang  dan serunding daging





RENDANG PADANG 
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)

Bahan A
1 kilo daging tanpa lemak- dipotong dadu
12 cawan santan pekat -Dari 3 biji kelapa 
4 sudu minyak untuk menumis

Bahan B
Dikisar bersama
12 biji bawang merah 
6 ulas bawang putih
150 gram cili kering ( lebihkan kalau suka pedas)
1 sudu teh lada putih biji
2 cm kunyit hidup
3 biji buah keras

Bahan C
3 batang serai-dititik
3 cm lengkuas - dititik
2 cm halia- dititik
3 helai daun limau purut- dibuang urat tengah
3 helai daun salam 
1 helai daun kunyit - dicarik 
2 kuntum bunga lawang
2 keping asam gelugur

Bahan D
1 sudu besar kerisik
Garam dan gula secukup rasa

Panaskan minyak dan tumiskan bahan B, masak hingga rempah wangi dan garing
Masukkan daging dan biarkan hingga kering airnya
Ataupun cara ke 2, perapkan daging bersama bahan kisar selama 5 jam atau semalamam 
Kemudian dimasak hingga kering air daging
Masukkan santan dan bahan C dan kacau selalu supaya santan tidak bergentel
Teruskan mengacau hingga terbit minyak dan kuah agak kering
Masak hingga daging empuk
Perasakan dengan bahan D
Kalau suka rendang yang agak kering boleh diteruskan proses merendang anggaran 2 jam ke 3 jam







   Alhamdulillah secukup rasa semuanya...









1 comment: