Laksam Kelantan
Semasa berumur 12 tahun pada tahun 1980
Kami sekeluarga berhijrah dari Kedah Darul Aman ke Pahang Darul Makmur
Dengan azam dan tekad untuk mengubah nasib keluarga
Berpindah kedaerah yang baru
Kami bertemu kawan yang baru, jiran-jiran dari serata negeri seluruh Semenanjung
Dari sini kami dapat merasa pelbagai budaya dan menu makanan yang pelbagai
Jiran kami ada dari keturunan Jawa dan Banjar
Ada dari Melaka dan Kelantan
Set lengkap laksam Kelantan
Disinilah kami diperkenalkan dengan laksam Kelantan
Ada seorang jiran kami yang berasal dari Negeri Kelantan
Pertama kali merasa dibibir kami dah jatuh cinta dengan rasanya
Apatah lagi bila merasa didalam mulut
Masya Allah TabarakaAllah sedapnya
Kami minta mak buatkan
Minta tunjuk ajar dari aruah Mak Chik Mek
Kami buat guna dapur kayu masa ni
Jenuhlah kami dok jaga api
Sebab Mak kata...
Nak makan sangatkan...
Jadi kenalah tolong
Puas hati kami dapat makan laksam airtangan sendiri
Kami simpan resepi ni sungguh-sungguh
Tulis dalam buku resepi
Tapi nasib kami tak berapa baik
Buku resepi kami rosak habih
Semut buat sarang kat dalamnya
Setelah mencuba berkali-kali
Dan bertanya dari pelbagai sumber
Inilah antara laksam yang kami suka
Menjadi kegemaran En.Suami dan anak-anak juga
Oleh itu dengan besar hati
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka....
LAKSAM KELANTAN
Diolah : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)
Bahan untuk laksam
Menghasilkan 12 gulung laksam
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh garam
4 3/4 cawan air suam
3 sudu besar minyak masak
Campurkan semua bahan-bahan diatas sehingga sebati
Ketepikan sebentar anggaran 15 minit
Panaskan periuk kukusan dan sediakan loyang atau penutup periuk aluminium yang disapu dengan sedikit minyak masak
Tuangkan bancuhan tepung tadi dlm loyang yang telah dipanaskan
Lapisan tepung jangan terlalu tebal dan jangan terlalu nipis
Kukus selama 5 minit
Angkat dan lalukan bahagian bawah loyang di bawah air paip supaya cepat sejuk
Gunakan hujung sudu untuk mengeluarkan laksam dari loyang dan gulung kemas
Lakukan proses yang sama hingga habis adunan
Gulungan laksam mestilah kemas dan cantik
Bahan untuk kuah laksam
Anggaran 6 orang makan
3 ekor ikan kembung atau 6 ekor ikan pelaling
2 biji bawang sederhana besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 sdu besar lada hitam - ditumbuk halus
1/2 sudu teh belacan bakar
1 inci lengkuas - diketuk
2 cawan santan pekat
2 keping asam gelugur
1 cawan air- untuk merebus ikan
Garam dan gula secukup rasa
Ikan direbus bersama sedikit garam dan asam gelugur
Sejukkan dan kopek isi ikan dan simpan air rebusan dan asam gelugur
Kisarkan bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam dan belacan, gunakan ai rebusan ikan tadi untuk mengisar. Masukkan isi ikan dan kisar bersama
Masukkan kedalam periuk bersama asam gelugur dan santan
Perasakan garam dan gulanya
Masak hingga mendidih dan kacau sentiasa untuk mengelakkan santan bergentel
Antara ulaman...kalau ada bunga kantan lagi sedap ni
Ulam-ulaman
2 batang kacang panjang- dihiris nipis
1/2 batang timun- buang batang tengah dan dihiris memanjang
Segengam taugeh- buang ekornya
3 helai kobis - dihiris nipis
Sambal laksam
10 biji cilipadi merah
1 biji cili merah
1/2 sudu teh belacan
Cuka makan atau limau kasturi
Garam dan gula secukup rasa
Kisar atau tumbuk semua bahan diatas
Selamat menjamu selera
Cara menghidangkan laksam
Laksam dipotong nipis dan masukkan kedalam mangkuk
Letakkan ulam-ulaman dan letakkan kuah
Sedap dimakan bersama sambal
No comments:
Post a Comment