Thursday 24 August 2017

GADO -GADO JAWA









    Gado -gado Jawa




Bukan menu yang biasa kami makan dari kecik
Dah besar panjang, dah anak dara baru tau menu ni
Itupun sebab Abang Sulung beristerikan orang Jawa
Alhamdulillah...dapat merasa menu yang berlainan citarasa
Dan mendalami kelainan budaya
Tambahan Kak Zaharah merupakan kakak ipar terbaik dalam dunia
Menantu solehah
Begitu juga kesemua ahli keluarganya
Keluarga besar kami sangat bertuah







   Set lengkap gado-gado




Rasanya gado-gado ni serupa macam pecal kut
Tak berani nak ulas lebih
Sebab kurang ilmu bab ni
Selepas berkahwin
Baru kami tau
Bahawa ini menu kegemaran En.Suami
Tapi dikampungnya menu ni dipanggil pecal
Selalu kami beli di pasar pagi Tanjung Karang
Bahan utamanya, taugeh yang dibuat sendiri
Yang belum tumbuh sepenuhnya
Pucuk ubi celur serta nasi impit atau bihun
Rasa pecal disini sangat kuat bau cekurnya
Warna kuahnya agak pudar tapi pedas
Mungkin digunakan lebih cilipadi berbanding cili merah







   Dihidangkan dalam set pinggan mangkuk lama mak yang berusia hampir 50 tahun





Setelah mencuba beberapa resepi dari Indonesia dan dari teman- teman orang Jawa
Kami dapati resepi ni antara terbaik
Kami dah olah siki-sikit mengikut selera dan citarasa keluarga
Secukup rasa 
Tapi memasak menu melayu ni tak boleh nak ikut resepi semata
Kita kena adjust mengikut deria rasa sendiri
Rasa masin, manis dan masam begitu sujectif
Ikut rasa lidah sendiri
Mungkin masin dilidah kita tapi tidak dilidah orang lain







   Ada tauhu goreng, tempe, kentang goreng dan telur rebus





Apapun resepi yang enak tak harus disimpan sorang diri
Ianya haruslah dikongsi bersama - sama
Buat tatapan anak cucu jugak nanti
Tidaklah nanti merindui
Menu ibunda dan nenda terchenta
Kalau jasad sudah tiada
Oleh itu....
Bersama-sama ini
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...







   Kuah gado- gado bersantan...sangatlah enaknya





GADO - GADO JAWA
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan untuk kuah 
Bahan A
500 gram kacang tanah - dicuci bersih dan toskan
2 sudu besar udang kering - rendam dengan air panas
4 biji bawang merah - dibelah 2
1 ulas bawang putih - dibelah 2
4 biji cili kering - basuh potong 4
7 biji cilipadi - kalau suka
1 inci cekur - kalau suka
2 helai daun limau purut - kalau suka
2 sudu teh belacan - kalau suka
6 sudu makan gula kabung - boleh gantikan dengan gula perang atau pasir
3 sudu makan air asam - bancuh dengan sedkit air masak
2 sudu besar kicap pekat manis
2 sudu besar kicap pekat masin
1 sudu teh garam
Sedikit minyak masak
Sedikit air masak
Air mendidih - boleh gantikan dengan santan pekat untuk menjadikan gado-gado jawa

Goreng kacang dengan sedikit minyak. Ini bertujuan agar kuah kita nanti nampak berkilat. Sejukkan
Kisarkan kacang tapi jangan terlalu halus. Ketepikan.
Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang merah, bawang putih , cili kering, cilipadi, cekur ,udang kering dan belacan. Goreng sampai wangi dan sedikit garing. Angkat dan sejukkan.
Kisarkan bahan yang sudah digoreng tadi dengan air asam jawa, gula, kicap dan garam. Kisar hingg halus, tambahkan air masak kalau perlu
Didalam bekas yang agak besar, satukan bahan yang dikisar bersama kacang
Kemudian masukkan air mendidih dan gaul rata. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga kuah kelihatan pekat dan likat.
Rasakan garam dan gulanya. Kuah gado-gado mestilah sedikit manis






   Lontong, timun jepun, tauge dan kangkung yang dicelur




Bahan untuk isinya
Anggaran 8 orang makan
4 batang lontong - boleh gantikan dengan nasi impit
2 cekak kangkung  - dipotong panjang dan dicelur
6 batang kacang panjang - potong 2 inci dan dicelur
1 mangkuk taugeh - dicelur
1 biji timun - dibuang biji dan dihiris
4 keping tauhu - dipotong 2 dan digoreng
4 keping tempe - dihiris nipis dan digoreng
8 biji telur - direbus dan dikupas
keropok goreng - keropok udang atau melinjau


Cara mencelur sayuran
Didihkan air dan masukkan 1 sudu teh garam dan 1/2 sudu besar minyak. Ini bertujuan untuk mengekalkan warna hijau sayuran.
Celur kacang panjang dahulu, bila bertukar warna terus diangkat dan lalukan pada air mengalir. Toskan
Dengan menggunakan air didihan yang sama, celur kangkung selama 1 minit dan lakukan proses yang sama macam kacang tadi.
Akhir sekali curahkan air didihan tadi kedalam bekas taugeh dan toskan dengan segera untuk mengekalkan kerangupan rasa taugeh.
Potong lontong dan hidangkan bersama sayuran dan curahkan kuah diatasnya
Gado- gado sedia untuk dinikmati







    Keropok belinjau yang sedikit pahit rasanya tapi sangat sedap dikunyah





Tip kami :
Kuah gado- gado bersantan lebih enak rasanya
Boleh ditambah atau dikurangkan asam, garam dan gula mengikut selera masing-masing
Kalau kuah menggunakan santan, kuah hendaklah dimasak hingga mendidih untuk menggelakkan kuah cepat basi
Boleh ditambah kobis yang dicelur untuk tambahan sayuran







   Sepiring gado -gado yang mengenyangkan






    Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati






Selamat mencuba








1 comment: