Saturday 2 September 2017

LOMPANG PANDAN WANGI DAN LOMPANG GULA MERAH










    Lompang pandan





Lompang pandan
Ada juga lompang gula merah
Warna cokelat
Ada juga warna merah jambu
Wangi baunya....letak pati sirap
Yang putih suci pun sedap jugak
Letak sikit essen ros bagi wangi
Makan dengan nyioq kemantan kukur
Letak garam sikit
Kemainlah sedapnya...
Pekena pulak dengan kopi O kampung
Ataupun teh O pun tak kurang enaknya







   Bertambah ayu kalau dihidangkan dalam pinggan tradisi ni





Dizaman kecil kami
Selalu kami rasa musykil
Macammana lompang boleh ada lesung pipit yang cantik ni
Dalam pulak tu...
Kami tanyakan dengan Mak Lang Meah
Dia kawan baik Mak kami
Pakar buat kuih lompang
Jawapannya...masa tengah panaih- panaih kuih tu
Mak Lang tenyeh dengan siku
Pasai tu jadi lesung pipit ( lubang ditengah- tengah kuih lompang)
Lepaih tu lama kami tak makan kuih lompang
Walaupun itulah kuih kegemaran kami







   Lembut gegar -gegar





Lama jugak la kami percaya kata-kata Mak Lang Meah tu
Alfatihah untuk aruah...
Bila dah besar sikit
Kami selalu juga minta Mak buatkan kuih lompang
Tapi Mak cakap tak pandai nak buat
Selalu lesung pipitnya tak jadi sangat
Mak Lang Meah pun dah pindah ke Mersing Johor
Maka bila dah kahwin 
Kami cuba buat berkali-kali
Mencuba resepi dari segala majalah dan internet
Alhamdulillah....
Akhirnya kami dapat resepi yang kami suka
Kena pada selera dan citarasa
Oleh itu .....
Kami titipkan resepinya disini....
Boleh cuba kalau suka....











LOMPANG PANDAN
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)
Menghasilkan 35 biji kuih lompang yang kecil

Bahan A
Dikisar bersama dan ditapis airnya
4 helai daun pandan
4 helai daun pandan serani - kalau tak ada pun takpa
2 1/2 cawan air

Bahan B
1 1/2 cawan tepung beras
3/4 cawan gula halus
1 sudu besar tepung jagung atau tepung ubi
1 sudu teh air kapur
Secubit garam

Bahan C
1/2 cawan kelapa parut putih
1 helai daun pandan
1/4 sudu teh garam halus 


Campurkan air daun pandan yang ditapis bersama Bahan B dan kacau rata
Tapiskan adunan kalau perlu. Kami blenderkan aje
Minyakkan acuan lompang dan panaskan anggaran 5 minit didalam kukusan
Dengan menggunakan jug tuangkan adunan kedalam acuan kuih lompang
Kukuskan dengan api yang sederhana anggaran 15 minit hingga terbentuk lesung pipit
Sejukkan kuih sebelum dikeluarkan dari acuan
Sementara itu kukuskan kelapa parut yang telah digaulkan garam bersama daun pandan
Kukuskan anggaran 5 minit, hidangkan kuih lompang bersama kelapa parut tadi


Tip kami
Kegunaan pandan serani adalah untuk memberi warna hijau yang cantik pada kuih lompang
Nama lain untuk pandan serani ialah daun suji 
Kelapa putih tidak perlu dikukus kalau kuih mahu dimakan dengan segera, rasanya lebih lemak dan sedap




Bersama- sama ini kami titipkan sekali kuih lompang gula merah
Boleh juga dicuba kalau suka














LOMPANG GULA MERAH
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)
Menghasilkan 35 biji kuih lompang yang kecil

Bahan A
Dimasak bersama dan ditapis airnya
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan gula merah - yang gelap warnanya lagi bagus
2 helai daun pandan - disimpul
1 1/2 cawan air

Bahan B
1 1/2 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung jagung atau tepung ubi
2 sudu besar kicap pekat manis
1 sudu teh air kapur
1 cawan air
Secubit garam

Bahan C
1/2 cawan kelapa parut putih
1 helai daun pandan
1/4 sudu teh garam halus 


Campurkan air gula yang ditapis dan disejukkan terlebih dahulu bersama Bahan B dan kacau rata
Tapiskan adunan kalau perlu. Kami blenderkan aje
Minyakkan acuan lompang dan panaskan anggaran 5 minit didalam kukusan
Dengan menggunakan jug tuangkan adunan kedalam acuan kuih lompang
Kukuskan dengan api yang sederhana anggaran 15 minit hingga terbentuk lesung pipit
Sejukkan kuih sebelum dikeluarkan dari acuan
Sementara itu kukuskan kelapa parut yang telah digaulkan garam bersama daun pandan
Kukuskan anggaran 5 minit, hidangkan kuih lompang bersama kelapa parut tadi








   Manis dan lembut





SELAMAT MENCUBA







No comments:

Post a Comment