Nasi ulam Kedah
Balik kampung Kumai hari tu
Masa Ramadhan yang lalu
Mak tengah balut tepung bungkuih
Sedapnya lahai kalau Mak yang buat
Lembut dan lemak berkrim
Dapatlah anak solehah Sara Hanum belajar balut kuih tepung bungkuih
Dok tanya Mak nak masak apa untuk berbuka
Kata Kak Pidah ada kepala ikan plotan dalam peti ais
Buat gulai pun sedap
Gulai kepala ikan plotan atau mayong
Masa buka petiais nak ambik kepala ikan plotan
Nampak pulak ubi dan batang keladi yang Mak dah siap celur
Entah kenapa kami tiba-tiba teringin pulak nak makan Nasi Ulam
Mungkin sebab bulan posa, selalunya orang Kedah suka buat Nasi Ulam untuk menu berbuka
Memang sangat sedap digandingkan dengan sayur keladi
Kebetulan Ucu dan Ros pun ada balik sekali
Ucu ni adik kami yang bungsu, Ros tu adik ipar kami
Ucu memang peminat tegar sayur keladi
Dari kecik lagi dah pandai makan
Kalau Mak masak sayur keladi Ucu akan meratah bermangkuk- mangkuk
Makan berulang - ulang
Ucu tolong kami petik ulaman kat belakang rumah
Ada yang di minta dari rumah jiran
Dah terliur semula nampak menu ni...solok lada, sambal kuinin, sayur keladi, ulam raja dan pucuk
serai kayu
Mak yang gaulkan Nasi Ulam ni...
Kami tolong sediakan bahan -bahannya sahaja
Mak juga teringin nak makan solok lada
Kebetulan ada cili hijau pemberian jiran yang baikhati dan pemurah
Ada juga buah kuinin pemberian jiran yang lain
Alhamdulillah duduk dikampung camtulah...
Semua rezeki akan dikongsi bersama-sama
Lupa pulak nak bagitau
Kami ada bawa balik nangka madu
Yang kami beli di Tesco sehari sebelumnya
Ada lebih kami kacau sedikit tepung
Mak dan Sara sambung bungkus Nagasari Nangka
Cantik sangat hasil kerja anak solehah ni
Kemas jeee...
Akhirnya hidangan berbuka kami...Alhamdulillah
Panjang pulak cerita kami kali ni
Seronok sangat kalau terkenang cerita balik kampung
Apapun kami titipkan resepi Nasi Ulam Kedah disini
Boleh cuba kalau suka....
Halus sangat Mak meracik ulaman
NASI ULAM KEDAH
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)
Bahan A
4 cawan nasi sejuk
Bahan B
Ditumbuk halus
1 inci halia
1 inci lengkuas
2 batang serai
1 sudu kecil lada hitam
2 keping asam gelugur
6 biji cilipadi
1 sudu teh garam
Bahan C
6 biji cilipadi - diracik halus
4 biji bawang merah - dimayang halus
2 keping ikan tenggiri masam - di bakar dan dikopek isinya
(Boleh gantikan dengan ikan talang masin, udang kering atau ikan kembung bakar)
1/4 cawan kelapa goreng - ditumbuk halus
Bahan D
Dimayang halus seperti membuat bunga rampai
Daun kadok, pegaga , selom, daun kunyit, daun cekur, kesom, daun limau purut, daun gajus atau janggus, Ulam raja, daun Kari, bunga kantan, daun asam gelugur, daun sekentut, tenggek burung, bebuaih, daun beluntas, pucuk putat, pucuk samak, sabung nyawa, bunga kunyit, pudina, selasih, kemangi , cemumaq dan lain-lain lagi
Balutkan daun yang kecil dengan daun yang besar untuk memudahkan proses menghiris daun
Campurkan Bahan B dan Bahan C, gaul hingga sebati
Masukkan Bahan A dan Bahan D, gaul rata dan hidangkan bersama asam pedas keladi
ASAM PEDAS KELADI CARA ORANG KEDAH
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)
Bahan A
Direbus bersama hingga keladi lembut dan toskan
3 pokok keladi- disiang dan dipotong 2 inci panjang
1 biji buah pinang - dibelah empat isinya ( petua supaya keladi tak gatal )
Bahan B
3 sudu cili kisar - boleh digantikan dengan 1 sudu besar serbuk kari
1 sudu teh lada hitam - ditumbuk
4 biji bawang merah - ditumbuk
1 cawan air
Bahan C
1 sudu besar beras goreng - ditumbuk ( untuk memekatkan kuah dan wangi )
2 ekor ikan rebus - dikopek isinya dan ditumbuk
3 tangkai daun kesum
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Masukkan Bahan B dan masak hingga pekat dan mendidih
Masukkan Bahan C dan Bahan A, masak hingga mendidih sekali lagi
Padamkan api dan sedia dihidangkan
Nasi Ulam dan Asam pedas keladi, gandingan yang sangat hebat
No comments:
Post a Comment