Sunday, 3 September 2017

MASAK LEMAK TELUR ITIK DAN PUCUK ASAM GELUGUR










 
    Lemak cilipadi telur itik dan pucuk asam gelugur






Salah satu menu kegemaran anak solehah kami ni
Dulu memang kami tak pandai langsung masak telur itik ni
Selalunya kami akan rebus dulu telur itik dan dikupas kulitnya
Lepaih tu kami buat kari  atau masak kurma
Pertama kali kami buat gulai terus jadi bubur
Semua telur pecah dalam kuah
Teruih kami buang semuanya
Kebetulan lepaih tu ada jiran kami 
Berniaga kat bazaar Ramadan 
Salah satu menunya gulai telur 
Kami belajar denganya....dia pecahkan telur didalam senduk
Lepaih tu massukkan kedalam air panas mendidih yang dicampurkan sedikit cuka makan
Alhamdulillah telur cantik jee kejadiannya 
Angkat telur dan toskan
Baru dimasukkan dalam kuah gulai 







   Set makan tengahari kami, lemak cilipadi telur itik bersama pucuk asam gelugur, ikan tongkol 
   goreng cili bawang, telur asin, sambal belacan dan ulam timun jepun.





Kami belajar dari kawan orang nogori 
Katanya gulai telur sedap dicampurkan bahan yang masam-masam
Asam belimbing buluh, mangga atau bacang muda
Kali ni kami letakkan pucuk asam gelugur
Alhamdulillah sedap selera anak solehah kami 
Memang kami masak gulai ni khas untuknya
Yang pulang bercuti di hujung minggu
Bersama ini kami titipkan resepinya ....
Boleh cuba kalau suka....







    Sesedap rasa, pedas dan masam




GULAI aka LEMAK CILIPADI TELUR ITIK BERSAMA PUCUK ASAM GELUGUR
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan A
Ditumbuk halus
21 biji cilipadi kampung - boleh kurangkan 
1/2 inci kunyit hidup
1 batang serai - diketuk

Bahan B
3 cawan santan pekat dari sebiji kelapa 

Bahan C
6 helai pucuk asam gelugur - diracik halus
Garam secukup rasa

Bahan D
6 biji telur itik
1 sudu besar cuka makan
2 cawan air

Pecahkan sebiji telur didalam bekas yang kecil
Dalam periuk atau kuali masakkan 2 cawan air serta cuka hingga mendidih
Perlahankan api dan biarkan air rebusan merenih
Kacaukan air ikut arah lawan jam hingga berpusar ditengahnya 
Masukkan telur kedalam air tadi dan biarkan hingga telur putih sedikit mengeras 
Angkat dan toskan. Laukkan proses yang sama untuk kesemua telur tadi
Didalam periuk yang berasingan , masukkan santan serta bahan A
Dengan api yang perlahan kacau bahan hingga mendidih
Masukkan pucuk asam gelugur dan telur
Perasakan dengan garam dan biarkan kuah mendidih sekali lagi
Sedia dihidangkan







    Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati





Tip kami :
Kalau tak suka bahan yang masam, boleh digantikan  dengan pucuk ubi yang disimpulkan atau daun kunyit yang diracik halus.  Tapi mesti juga di diletakkan asam keping atau sedikit perahan air limau kasturi untuk menghilangkan bau hanyir telur.

Boleh juga dimasukkan terus telur kedalam kuah yang telah mendidih dengan cara pecahkan telur sebijik-sebijik didalam bekas kecil dan tuang perlahan-lahan didalam kuah 

Garam hendaklah dimasukkan akhir sekali kerana ini juga merupakan satu lagi petua untuk mengelakkan telur hancur

Pucuk asam gelugur boleh didapati di pasar basah ataupun pasar tani





SHAKSHUKA ( POACHES EGGS IN TOMATO SAUCE)









   Shakshuka





Ternampak menu ni pada laman instagram seseorang
Tetapi terasa sangat segan nak minta resepi darinya
Bukannya teman rapat yang biasa bertegur sapa
Rasa macam sedap je
Macam sesuai nak dihidangkan pada ahli rumah






   Dihidangkan bersama tortilla yang dibakar garing





Walaupun kami tak pandai nak makan menu
Tapi kami tahu isi rumah pasti menggemarinya
Bermulalah episod bertanyakan pada Mak Cik Googgle yang serba tahu
Percubaan pertama, ubah serba sikit ikut kesesuaian selera
Tanya pada En.Suami dan anak-anak tentang rasanya
Alhamdulillah....
Ini antara rasa yang mereka gemari







   Jus saleri untuk En.Suami dan kopi O pekat tanpa gula untuk kami




Dah cuba beberapa kali
Dah ubahsuai sikit-sikit
Inilah resepi yang kami gemari
Oleh kerana ia kegemaran semua ahli rumah
Haruslah kami titipkan disini
Kalau ada teringin nak mencuba
Silalah ....






   Sesuai untuk sarapan dan makan malam juga





SHAKSHUKA ( POACHES EGGS IN TOMATO SAUCE)
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)


Bahan A
500 gram daging cincang
2 sudu besar tepung jagung
2 biji bawang holland- di kisar
4 ulas bawang putih - dikisar
2 inci halia -dikisar
2 sudu rempah sup
Garam secukup rasa
2 sudu minyak sapi ( boleh gunakan minyak zaitun)

Bahan B
2 biji bawang holland - dicincang
5 biji tomato masak - di celur, kopek kulit dan di dadu 
2 sudu besar tomato puree
2 biji cili hijau - dicincang atau dihiris halus
4 biji telur
Garam dan gula secukup rasa

Bahan C
Daun sup
Daun bawang
Daun parsli 
Bawang goreng

Bahan D
Roti perancis atau roti pita dibakar


Gaulkan daging kisar bersama tepung jagung
Panaskan 2 sudu minyak didalam non stick pan dan tumiskan bahan kisar hingga wangi
Masukkan rempah sup dan kacau rata, masak hingga rempah wangi dan agak garing
Masukkan daging kisar dan masak hingga daging agak kering
Perasakan garamnya. Angkat dan ketepikan

Panaskan minyak didalam non stick pan yang sama dan tumiskan bawang holland yang dicincang
Masak hingga bawang layu, masukkan buah tomato yang dicincang
Renih hingga tomato hancur dan masukkan tomato puree dan sedikit air kalau perlu
Masukkan juga cili hijau dan renihkan hingga mendidih
Perasakan garam dan gulanya

Perlahankan api dan letakkan daging yang siap dimasak tadi diatas sos tomato
Buatkan empat lubang kecil, pecahkan sebiji telur didalam mangkuk dan perlahan-lahan masukkan kedalam lubang tadi. Buat hingga habis semua telur tadi
Tutupkan non stick dengan penutup periuk anggaran 3 minit
Buka tutup dan taburkan Bahan C kalau suka
Hidangkan panas bersama Bahan D


Tip: boleh juga dimasak sekali Bahan A dan Bahan B seperti memasak sos spaghetti bolognise







  Sesuai juga dihidangkan bersama roti perancis




Selain dari tortilla kami suka juga hidangkan bersama roti perancis
Pun tak kurang juga enaknya
Makan waktu panas-panas
Kena hidangkan terus dalam bekas yang dimasak
Sebab telur cair tu
Dan kuahnya yang sedikit berair
Tabur daun parsley diatasnya
Wangi sangat baunya







   Set sarapan yang membuatkan perut bernyanyi riang












Saturday, 2 September 2017

BIHUN SUP SIAM










   Bihun sup siam




Masa menaip ni
Masih terasa kesedapan bihun sup ni
Ada rasa masam-masam dan pedas
Rangup lobak asin bila tergigit
Sedaplah sangat pada selera kami anak beranak
Makan sup panaih berpeluh - peluh







    Set menu bihun sup siam...cream caramel tu bukan gengnya yer 





Kalau rasa tekak tak berapa sedap
Kalau selera berkurang
Menu ni memang sesuai sangat
Nak memasaknya pun mudah
Tak perlu banyak rempah ratus
Makan dengan kueyteow pun sedap ni







  Mangkuk yang memberikan kepuasan ...cili flakes menambah perisa



Resepi yang enak tak boleh disimpan sorang-sorang
Mailah kami nak titipkan disini
Boleh cuba kalau suka....






   Set lengkap bihun sup Siam





BIHUN SUP SIAM
Resepi :Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan A
Untuk Tumisan
3 biji bawang merah - dihiris
2 inci kayu manis
4 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
2 sudu minyak bawang putih untuk menumis

Bahan B
Dikisar bersama
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih 
1 inci halia
1 sudu teh lada hitam

Bahan C
1/2 kilo tulang ayam 
1 keping dada ayam - kalau suka 
2 batang akar ketumbar
1 liter air - boleh tambah ikut kesesuaian 

Bahan D
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap cair
Gula dan garam secukup rasa

Bahan E 
Kalau suka
1 keping dada ayam - dihiris halus
1 sudu teh kicap cair
1/2 sudu teh lada sulah

Bahan Sampingan
Bihun secukupnya - dicelur hingga lembut
Isi ayam yang dicarikkan  halus 
Cili flakes
Kacang tanah digoreng dan ditumbuk kasar
Lobak asin - dicincang halus
Kangkung - dicelur
Taugeh - dicelur
Daun ketumbar
Limau kasturi
Bawang putih - dicincang dan digoreng


Panaskan minyak dalam kuali, buat dulu bawang putih goreng
Goreng bawang putih yang dicincang hingga keperangan,  angkat dan toskan
Keluarkan anggaran 2 sudu minyak dan masukkan kedalam periuk berasingan
Dengan sedikit lebihan minyak bawang putih didalam kuali tadi , gorengkan Bahan E hingga isi ayam masak dan kering airnya. Angkat dan ketepikan
Panaskan kembali minyak bawang putih didalam periuk dan tumiskan Bahan A
Goreng hingga bawang agak garing dan wangi, masukkan Bahan B kacau hingga rempah agak garing dan berbau wangi.
Masukkan Bahan C dan perasakan dengan Bahan D
Masak hingga kuah mendidih dan biarkan merenih anggaran 30 minit
Keluarkan dada ayam dan carikkan halus ataupun siat menggunakan garpu
Ambil bihun yang sudah dicelur, hidangkan bersama Bahan sampingan yang lainnya dan curahkan sup panas keatas bihun tadi.
Perahkan limau kasturi untuk mendapatkan rasa masam pada sup







   Lobak asin, cili flakes, bawang goreng dan cili potong bersos ikan






Tip kami :
Boleh guna daging dan tulang menggantikan ayam 
Kami suka guna kaki dan leher ayam untuk dibuat sup 
Bahan E sebagai tambahan menu sebab kami tak berapa suka isi ayam yang dicarik
Boleh juga dihidangkan bersama sambal kicap 
Resepi asal menggunakan gula siam atau gula untuk buat somtam tu









   Cream cramel sebagai pemanis mulut




Sebab ada cream caramel terpampang disitu
Mai la kami titipkan juga resepinya disini
Dah banyak kali guna resepi ni
Tak mau susahkan adik-adik dok selongkar gobok kami nak cari resepi
Cubalah yer kalau suka....







  Cream caramel 




CREAM CARAMEL
Resepi : Aniza Little Kitchen
 
Loyang 8 inci atau 12 mould kecil
Anggaran 900 ml cecair

Bahan A
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat manis
1 1/2 cawan air
4 biji telur gred A
1/4 sudu teh vanila essen

Bahan B
Gula hangus
1/4 cawan gula 
2 sudu besar air
 
Sediakan gula hangus dengan mecampurkan gula dan air dan masakkan dengan api perlahan hingga gula mencair dan bertukar perang
Alihkan dengan segera kedalam loyang atau mould

Untuk menyediakan adunan cream caramel campurkan semuanya dan kacau perlahan- lahan hingga susu bercampur rata dengan susu. Tapiskan  dua kali untuk mengelakkan bau hanyir telur
Curahkan kedalam gula hangus yang sudah mengeras
Kukus anggaran 30 minit atau lebih dengan api yang sederhana
Sejukkan dahulu sebelum dikeluarkan dari bekas atau dihidangkan

Tip kami :
Boleh digantikan susu cair dengan susu segar
Sediakan terus gula didalam bekas yang akan digunakan untuk mengukus untuk memudahkan proses
Boleh ditambah satu sudu besar tepung custard untuk warna yang sedikit kekuningan
Kukus dengan api kuat boleh membuatkan karamel mengerutu
Terlebih masa mengukus menyebabkan air gula naik dan karamel mengembang

Cadangan hidangan:
Sesuai dihidangkan sejuk
Boleh ditambah buah-buahan campuran semasa menghidang






    Sangat lembut dan mulus











 
SELAMAT MENCUBA







NASI KERABU KUNING










  Set nasi kerabu kuning





Nasi kerabu kuning
Tak kurang sedapnya dengan nasi kerabu ungu
Kalau tak ada bunga telang, inilah pilihan nasi kerabu kami
Letak sehelai dua daun limau purut
Sangatlah wangi baunya
Tak kisah apa lauk tambahan
Solok lada, ikan percik atau telur masin
Semuanya sedap belaka gandingannya
Keropok ikan jangan dilupa








   Menu yang menggamit selera





Resepi pilihan kami ni
Sesuai dengan selera kami sekeluarga
Sesedap rasa
Buat juga solok lada
Rebus sebiji dua telur masin
Ada ikan percik dan sedikit ayam panggang








   Set menu berbuka puasa





Tak mahulah cerita panjang
Marilah kami titipkan resepinya disini
Boleh cuba kalau suka












NASI KERABU KUNING
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Untuk nasi
3 cawan beras
3 cawan air
2 helai daun limau purut
1 helai daun pandan
1 batang serai - kalau suka
1/2 sudu teh kunyit serbuk

Masak macam memasak nasi biasa






 
    Sambal ikan dan kelapa





Sambal ikan dan kelapa
1 biji kelapa parut - disngai hingga perang
4 ekor isi ikan selayang/sardin  - dibakar dan dikopek isinya
6 ulas bawang merah
10 biji lada hitam
4 batang serai  - diracik halus
1/2 keping gula melaka
Garam secukup rasa

Tumbuk halus kelapa yang siap disangai tapi jangan sampai pecah minyak, ketepikan
Tumbuk lada hitam, serai dan bawang merah serta gula melaka hingga lumat, ketepikan
Tumbuk pula isi ikan dan gaulkan semua bahan yang telah ditumbuk tadi bersama garam secukup rasa hingga rata dan bercampur sempurna







    Kuah tumis




Kuah Tumis
3 cawan santan - dari 1 biji kelapa
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
4 batang serai - dihiris nipis
10 biji cili kering - direndam air panas
1/2 buku gula melaka
2 keping asam gelugur
1 sudu besar budu - kalau suka
Garam secukup rasa - kurangkan garam kalau letak budu

Kisarkan bawang merah, bawang putih, halia, serai dan cili kering
Masukkan santan dalam periuk. Biarkan hingga menggelegak tanpa perlu dikacau. 
Masukkan bahan kisar dan biarkan dbuduhati-hati dengan garam, jika kuah telah masin dengan budu, garam tidak perlu.gan api perlahan hingga kuah agak pekat
Kacau sekali sekala, masukkan asam keping dan gula melaka
Tambahkan budu dan garam secukup rasa
Biarkan mereneh hingga pecah minyak dan agak pekat
Rasa kuah tumis mestilah sedikit masam dan sedikit manis







   Air lada dan ulaman




Air lada
10 biji cili padi merah
1 ulas bawang putih - dibakar
1 biji bawang merah - dibakar
1 sudu teh belacan - kalau suka
Cuka atau limau kasturi
Gula dan garam secukupnya

Untuk Ulaman
Timun - dipotong memanjang
Kacang panjang - diracik nipis
Kubis - dihiris halus
Bunga Kantan - dimayang halus
Daun kesum - dimayang halus
Pucuk kunyit muda - dimayang halus
Taugeh 
Daun selasih

Gaulkan semuanya bersama







    Solok lada





Solok lada
3 ekor ikan kembung - dikikis isinya
7 biji cili hijau muda (cili solok) - dibelah tengah dan di keluarkan bijinya dan disimpan
1 cawan kelapa parut - ambil yang putih sahaja
6 ulas bawang merah 
1/2 inci halia 
1/2 sudu teh lada hitam - kalau suka
1 sudu teh garam 
1 sudu teh gula 
1/2 cawan santan pekat. 

Ikan dibuang tulang dan diambil isinya sahaja, kikis dengan sudu dari ekornya
Tumbuk isi ikan, kemudian tumbukkan pula bawang merah dan halia dan biji cili
Gaul rata bersama garam dan gula
Tumbuk kelapa dan gaulkan bersama bahan adunan isi ikan tadi
Sumbatkan adunan kedalam cili, buat hingga habis semuanya
Susun cili didalam periuk yang dialas pucuk ubi atau kacang panjang
Masukkan santan kedalam dan masak dengan api perlahan hingga agak kering kuahnya. Angkat dan sedia dihidangkan







  Ikan percik dan ayam bakar




Bahan sampingan
Keropok ikan
Ikan goreng tepung
Telur masin
Daging bakar





    Sedap sangat ni...tengok balik terus rasa terliur







   Gaul dengan nasi putih panas-panas, pun kemainlah sedapnya









LOMPANG PANDAN WANGI DAN LOMPANG GULA MERAH










    Lompang pandan





Lompang pandan
Ada juga lompang gula merah
Warna cokelat
Ada juga warna merah jambu
Wangi baunya....letak pati sirap
Yang putih suci pun sedap jugak
Letak sikit essen ros bagi wangi
Makan dengan nyioq kemantan kukur
Letak garam sikit
Kemainlah sedapnya...
Pekena pulak dengan kopi O kampung
Ataupun teh O pun tak kurang enaknya







   Bertambah ayu kalau dihidangkan dalam pinggan tradisi ni





Dizaman kecil kami
Selalu kami rasa musykil
Macammana lompang boleh ada lesung pipit yang cantik ni
Dalam pulak tu...
Kami tanyakan dengan Mak Lang Meah
Dia kawan baik Mak kami
Pakar buat kuih lompang
Jawapannya...masa tengah panaih- panaih kuih tu
Mak Lang tenyeh dengan siku
Pasai tu jadi lesung pipit ( lubang ditengah- tengah kuih lompang)
Lepaih tu lama kami tak makan kuih lompang
Walaupun itulah kuih kegemaran kami







   Lembut gegar -gegar





Lama jugak la kami percaya kata-kata Mak Lang Meah tu
Alfatihah untuk aruah...
Bila dah besar sikit
Kami selalu juga minta Mak buatkan kuih lompang
Tapi Mak cakap tak pandai nak buat
Selalu lesung pipitnya tak jadi sangat
Mak Lang Meah pun dah pindah ke Mersing Johor
Maka bila dah kahwin 
Kami cuba buat berkali-kali
Mencuba resepi dari segala majalah dan internet
Alhamdulillah....
Akhirnya kami dapat resepi yang kami suka
Kena pada selera dan citarasa
Oleh itu .....
Kami titipkan resepinya disini....
Boleh cuba kalau suka....











LOMPANG PANDAN
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)
Menghasilkan 35 biji kuih lompang yang kecil

Bahan A
Dikisar bersama dan ditapis airnya
4 helai daun pandan
4 helai daun pandan serani - kalau tak ada pun takpa
2 1/2 cawan air

Bahan B
1 1/2 cawan tepung beras
3/4 cawan gula halus
1 sudu besar tepung jagung atau tepung ubi
1 sudu teh air kapur
Secubit garam

Bahan C
1/2 cawan kelapa parut putih
1 helai daun pandan
1/4 sudu teh garam halus 


Campurkan air daun pandan yang ditapis bersama Bahan B dan kacau rata
Tapiskan adunan kalau perlu. Kami blenderkan aje
Minyakkan acuan lompang dan panaskan anggaran 5 minit didalam kukusan
Dengan menggunakan jug tuangkan adunan kedalam acuan kuih lompang
Kukuskan dengan api yang sederhana anggaran 15 minit hingga terbentuk lesung pipit
Sejukkan kuih sebelum dikeluarkan dari acuan
Sementara itu kukuskan kelapa parut yang telah digaulkan garam bersama daun pandan
Kukuskan anggaran 5 minit, hidangkan kuih lompang bersama kelapa parut tadi


Tip kami
Kegunaan pandan serani adalah untuk memberi warna hijau yang cantik pada kuih lompang
Nama lain untuk pandan serani ialah daun suji 
Kelapa putih tidak perlu dikukus kalau kuih mahu dimakan dengan segera, rasanya lebih lemak dan sedap




Bersama- sama ini kami titipkan sekali kuih lompang gula merah
Boleh juga dicuba kalau suka














LOMPANG GULA MERAH
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)
Menghasilkan 35 biji kuih lompang yang kecil

Bahan A
Dimasak bersama dan ditapis airnya
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan gula merah - yang gelap warnanya lagi bagus
2 helai daun pandan - disimpul
1 1/2 cawan air

Bahan B
1 1/2 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung jagung atau tepung ubi
2 sudu besar kicap pekat manis
1 sudu teh air kapur
1 cawan air
Secubit garam

Bahan C
1/2 cawan kelapa parut putih
1 helai daun pandan
1/4 sudu teh garam halus 


Campurkan air gula yang ditapis dan disejukkan terlebih dahulu bersama Bahan B dan kacau rata
Tapiskan adunan kalau perlu. Kami blenderkan aje
Minyakkan acuan lompang dan panaskan anggaran 5 minit didalam kukusan
Dengan menggunakan jug tuangkan adunan kedalam acuan kuih lompang
Kukuskan dengan api yang sederhana anggaran 15 minit hingga terbentuk lesung pipit
Sejukkan kuih sebelum dikeluarkan dari acuan
Sementara itu kukuskan kelapa parut yang telah digaulkan garam bersama daun pandan
Kukuskan anggaran 5 minit, hidangkan kuih lompang bersama kelapa parut tadi








   Manis dan lembut





SELAMAT MENCUBA







Thursday, 24 August 2017

GADO -GADO JAWA









    Gado -gado Jawa




Bukan menu yang biasa kami makan dari kecik
Dah besar panjang, dah anak dara baru tau menu ni
Itupun sebab Abang Sulung beristerikan orang Jawa
Alhamdulillah...dapat merasa menu yang berlainan citarasa
Dan mendalami kelainan budaya
Tambahan Kak Zaharah merupakan kakak ipar terbaik dalam dunia
Menantu solehah
Begitu juga kesemua ahli keluarganya
Keluarga besar kami sangat bertuah







   Set lengkap gado-gado




Rasanya gado-gado ni serupa macam pecal kut
Tak berani nak ulas lebih
Sebab kurang ilmu bab ni
Selepas berkahwin
Baru kami tau
Bahawa ini menu kegemaran En.Suami
Tapi dikampungnya menu ni dipanggil pecal
Selalu kami beli di pasar pagi Tanjung Karang
Bahan utamanya, taugeh yang dibuat sendiri
Yang belum tumbuh sepenuhnya
Pucuk ubi celur serta nasi impit atau bihun
Rasa pecal disini sangat kuat bau cekurnya
Warna kuahnya agak pudar tapi pedas
Mungkin digunakan lebih cilipadi berbanding cili merah







   Dihidangkan dalam set pinggan mangkuk lama mak yang berusia hampir 50 tahun





Setelah mencuba beberapa resepi dari Indonesia dan dari teman- teman orang Jawa
Kami dapati resepi ni antara terbaik
Kami dah olah siki-sikit mengikut selera dan citarasa keluarga
Secukup rasa 
Tapi memasak menu melayu ni tak boleh nak ikut resepi semata
Kita kena adjust mengikut deria rasa sendiri
Rasa masin, manis dan masam begitu sujectif
Ikut rasa lidah sendiri
Mungkin masin dilidah kita tapi tidak dilidah orang lain







   Ada tauhu goreng, tempe, kentang goreng dan telur rebus





Apapun resepi yang enak tak harus disimpan sorang diri
Ianya haruslah dikongsi bersama - sama
Buat tatapan anak cucu jugak nanti
Tidaklah nanti merindui
Menu ibunda dan nenda terchenta
Kalau jasad sudah tiada
Oleh itu....
Bersama-sama ini
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...







   Kuah gado- gado bersantan...sangatlah enaknya





GADO - GADO JAWA
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan untuk kuah 
Bahan A
500 gram kacang tanah - dicuci bersih dan toskan
2 sudu besar udang kering - rendam dengan air panas
4 biji bawang merah - dibelah 2
1 ulas bawang putih - dibelah 2
4 biji cili kering - basuh potong 4
7 biji cilipadi - kalau suka
1 inci cekur - kalau suka
2 helai daun limau purut - kalau suka
2 sudu teh belacan - kalau suka
6 sudu makan gula kabung - boleh gantikan dengan gula perang atau pasir
3 sudu makan air asam - bancuh dengan sedkit air masak
2 sudu besar kicap pekat manis
2 sudu besar kicap pekat masin
1 sudu teh garam
Sedikit minyak masak
Sedikit air masak
Air mendidih - boleh gantikan dengan santan pekat untuk menjadikan gado-gado jawa

Goreng kacang dengan sedikit minyak. Ini bertujuan agar kuah kita nanti nampak berkilat. Sejukkan
Kisarkan kacang tapi jangan terlalu halus. Ketepikan.
Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang merah, bawang putih , cili kering, cilipadi, cekur ,udang kering dan belacan. Goreng sampai wangi dan sedikit garing. Angkat dan sejukkan.
Kisarkan bahan yang sudah digoreng tadi dengan air asam jawa, gula, kicap dan garam. Kisar hingg halus, tambahkan air masak kalau perlu
Didalam bekas yang agak besar, satukan bahan yang dikisar bersama kacang
Kemudian masukkan air mendidih dan gaul rata. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga kuah kelihatan pekat dan likat.
Rasakan garam dan gulanya. Kuah gado-gado mestilah sedikit manis






   Lontong, timun jepun, tauge dan kangkung yang dicelur




Bahan untuk isinya
Anggaran 8 orang makan
4 batang lontong - boleh gantikan dengan nasi impit
2 cekak kangkung  - dipotong panjang dan dicelur
6 batang kacang panjang - potong 2 inci dan dicelur
1 mangkuk taugeh - dicelur
1 biji timun - dibuang biji dan dihiris
4 keping tauhu - dipotong 2 dan digoreng
4 keping tempe - dihiris nipis dan digoreng
8 biji telur - direbus dan dikupas
keropok goreng - keropok udang atau melinjau


Cara mencelur sayuran
Didihkan air dan masukkan 1 sudu teh garam dan 1/2 sudu besar minyak. Ini bertujuan untuk mengekalkan warna hijau sayuran.
Celur kacang panjang dahulu, bila bertukar warna terus diangkat dan lalukan pada air mengalir. Toskan
Dengan menggunakan air didihan yang sama, celur kangkung selama 1 minit dan lakukan proses yang sama macam kacang tadi.
Akhir sekali curahkan air didihan tadi kedalam bekas taugeh dan toskan dengan segera untuk mengekalkan kerangupan rasa taugeh.
Potong lontong dan hidangkan bersama sayuran dan curahkan kuah diatasnya
Gado- gado sedia untuk dinikmati







    Keropok belinjau yang sedikit pahit rasanya tapi sangat sedap dikunyah





Tip kami :
Kuah gado- gado bersantan lebih enak rasanya
Boleh ditambah atau dikurangkan asam, garam dan gula mengikut selera masing-masing
Kalau kuah menggunakan santan, kuah hendaklah dimasak hingga mendidih untuk menggelakkan kuah cepat basi
Boleh ditambah kobis yang dicelur untuk tambahan sayuran







   Sepiring gado -gado yang mengenyangkan






    Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati






Selamat mencuba








Wednesday, 9 August 2017

LAKSAM KELANTAN









  
    Laksam Kelantan




Semasa berumur 12 tahun pada tahun 1980
Kami sekeluarga berhijrah dari Kedah Darul Aman ke Pahang Darul Makmur
Dengan azam dan tekad untuk mengubah nasib keluarga
Berpindah kedaerah yang baru
Kami bertemu kawan yang baru, jiran-jiran dari serata negeri seluruh Semenanjung
Dari sini kami dapat merasa pelbagai budaya dan menu makanan yang pelbagai
Jiran kami ada dari keturunan Jawa dan Banjar
Ada dari Melaka dan Kelantan







   Set lengkap laksam Kelantan




Disinilah kami diperkenalkan dengan laksam Kelantan
Ada seorang jiran kami yang berasal dari Negeri Kelantan
Pertama kali merasa dibibir kami dah jatuh cinta dengan rasanya
Apatah lagi bila merasa didalam mulut
Masya Allah TabarakaAllah sedapnya
Kami minta mak buatkan
Minta tunjuk ajar dari aruah Mak Chik Mek
Kami buat guna dapur kayu masa ni
Jenuhlah kami dok jaga api
Sebab Mak kata...
Nak makan sangatkan...
Jadi kenalah tolong
Puas hati kami dapat makan laksam airtangan sendiri
Kami simpan resepi ni sungguh-sungguh
Tulis dalam buku resepi
Tapi nasib kami tak berapa baik
Buku resepi kami rosak habih
Semut buat sarang kat dalamnya
Setelah mencuba berkali-kali
Dan bertanya dari pelbagai sumber
Inilah antara laksam yang kami suka
Menjadi kegemaran En.Suami dan anak-anak juga
Oleh itu dengan besar hati
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka....






   Mengamit nostalgia





LAKSAM KELANTAN
Diolah : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)

Bahan untuk laksam
Menghasilkan 12 gulung laksam
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh garam
4 3/4 cawan air suam
3 sudu besar minyak masak

Campurkan semua bahan-bahan  diatas sehingga sebati
Ketepikan sebentar anggaran 15 minit
Panaskan periuk kukusan dan sediakan loyang atau penutup periuk aluminium yang disapu dengan sedikit minyak masak
Tuangkan bancuhan tepung tadi dlm loyang yang telah dipanaskan
Lapisan tepung jangan terlalu tebal dan jangan terlalu nipis
Kukus selama 5 minit
Angkat dan lalukan bahagian bawah loyang di bawah air paip supaya cepat sejuk
Gunakan hujung sudu untuk mengeluarkan laksam dari loyang dan gulung kemas
Lakukan proses yang sama hingga habis adunan







   Gulungan laksam mestilah kemas dan cantik





Bahan untuk kuah laksam
Anggaran 6 orang makan
3 ekor ikan kembung atau 6 ekor ikan pelaling
2 biji bawang sederhana besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia 
1/2 sdu besar lada hitam - ditumbuk halus
1/2 sudu teh belacan bakar 
1 inci lengkuas - diketuk
2 cawan santan pekat
2 keping asam gelugur
1 cawan air- untuk merebus ikan
Garam dan gula secukup rasa

Ikan direbus bersama sedikit garam dan asam gelugur
Sejukkan dan kopek isi ikan dan simpan air rebusan dan asam gelugur
Kisarkan bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam dan belacan, gunakan ai rebusan ikan tadi untuk mengisar. Masukkan isi ikan dan kisar bersama 
Masukkan kedalam periuk bersama asam gelugur dan santan
Perasakan garam dan gulanya 
Masak hingga mendidih dan kacau sentiasa untuk mengelakkan santan bergentel







   Antara ulaman...kalau ada bunga kantan lagi sedap ni





Ulam-ulaman
2 batang kacang panjang- dihiris nipis
1/2 batang timun- buang batang tengah dan dihiris memanjang
Segengam taugeh- buang ekornya
3 helai kobis - dihiris nipis

Sambal laksam
10 biji cilipadi merah
1 biji cili merah
1/2 sudu teh belacan
Cuka makan atau limau kasturi
Garam dan gula secukup rasa

Kisar atau tumbuk semua bahan diatas






   Selamat menjamu selera





Cara menghidangkan laksam
Laksam dipotong nipis dan masukkan kedalam mangkuk
Letakkan ulam-ulaman dan letakkan kuah
Sedap dimakan bersama sambal