Thursday, 24 August 2017

GADO -GADO JAWA









    Gado -gado Jawa




Bukan menu yang biasa kami makan dari kecik
Dah besar panjang, dah anak dara baru tau menu ni
Itupun sebab Abang Sulung beristerikan orang Jawa
Alhamdulillah...dapat merasa menu yang berlainan citarasa
Dan mendalami kelainan budaya
Tambahan Kak Zaharah merupakan kakak ipar terbaik dalam dunia
Menantu solehah
Begitu juga kesemua ahli keluarganya
Keluarga besar kami sangat bertuah







   Set lengkap gado-gado




Rasanya gado-gado ni serupa macam pecal kut
Tak berani nak ulas lebih
Sebab kurang ilmu bab ni
Selepas berkahwin
Baru kami tau
Bahawa ini menu kegemaran En.Suami
Tapi dikampungnya menu ni dipanggil pecal
Selalu kami beli di pasar pagi Tanjung Karang
Bahan utamanya, taugeh yang dibuat sendiri
Yang belum tumbuh sepenuhnya
Pucuk ubi celur serta nasi impit atau bihun
Rasa pecal disini sangat kuat bau cekurnya
Warna kuahnya agak pudar tapi pedas
Mungkin digunakan lebih cilipadi berbanding cili merah







   Dihidangkan dalam set pinggan mangkuk lama mak yang berusia hampir 50 tahun





Setelah mencuba beberapa resepi dari Indonesia dan dari teman- teman orang Jawa
Kami dapati resepi ni antara terbaik
Kami dah olah siki-sikit mengikut selera dan citarasa keluarga
Secukup rasa 
Tapi memasak menu melayu ni tak boleh nak ikut resepi semata
Kita kena adjust mengikut deria rasa sendiri
Rasa masin, manis dan masam begitu sujectif
Ikut rasa lidah sendiri
Mungkin masin dilidah kita tapi tidak dilidah orang lain







   Ada tauhu goreng, tempe, kentang goreng dan telur rebus





Apapun resepi yang enak tak harus disimpan sorang diri
Ianya haruslah dikongsi bersama - sama
Buat tatapan anak cucu jugak nanti
Tidaklah nanti merindui
Menu ibunda dan nenda terchenta
Kalau jasad sudah tiada
Oleh itu....
Bersama-sama ini
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...







   Kuah gado- gado bersantan...sangatlah enaknya





GADO - GADO JAWA
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan untuk kuah 
Bahan A
500 gram kacang tanah - dicuci bersih dan toskan
2 sudu besar udang kering - rendam dengan air panas
4 biji bawang merah - dibelah 2
1 ulas bawang putih - dibelah 2
4 biji cili kering - basuh potong 4
7 biji cilipadi - kalau suka
1 inci cekur - kalau suka
2 helai daun limau purut - kalau suka
2 sudu teh belacan - kalau suka
6 sudu makan gula kabung - boleh gantikan dengan gula perang atau pasir
3 sudu makan air asam - bancuh dengan sedkit air masak
2 sudu besar kicap pekat manis
2 sudu besar kicap pekat masin
1 sudu teh garam
Sedikit minyak masak
Sedikit air masak
Air mendidih - boleh gantikan dengan santan pekat untuk menjadikan gado-gado jawa

Goreng kacang dengan sedikit minyak. Ini bertujuan agar kuah kita nanti nampak berkilat. Sejukkan
Kisarkan kacang tapi jangan terlalu halus. Ketepikan.
Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang merah, bawang putih , cili kering, cilipadi, cekur ,udang kering dan belacan. Goreng sampai wangi dan sedikit garing. Angkat dan sejukkan.
Kisarkan bahan yang sudah digoreng tadi dengan air asam jawa, gula, kicap dan garam. Kisar hingg halus, tambahkan air masak kalau perlu
Didalam bekas yang agak besar, satukan bahan yang dikisar bersama kacang
Kemudian masukkan air mendidih dan gaul rata. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga kuah kelihatan pekat dan likat.
Rasakan garam dan gulanya. Kuah gado-gado mestilah sedikit manis






   Lontong, timun jepun, tauge dan kangkung yang dicelur




Bahan untuk isinya
Anggaran 8 orang makan
4 batang lontong - boleh gantikan dengan nasi impit
2 cekak kangkung  - dipotong panjang dan dicelur
6 batang kacang panjang - potong 2 inci dan dicelur
1 mangkuk taugeh - dicelur
1 biji timun - dibuang biji dan dihiris
4 keping tauhu - dipotong 2 dan digoreng
4 keping tempe - dihiris nipis dan digoreng
8 biji telur - direbus dan dikupas
keropok goreng - keropok udang atau melinjau


Cara mencelur sayuran
Didihkan air dan masukkan 1 sudu teh garam dan 1/2 sudu besar minyak. Ini bertujuan untuk mengekalkan warna hijau sayuran.
Celur kacang panjang dahulu, bila bertukar warna terus diangkat dan lalukan pada air mengalir. Toskan
Dengan menggunakan air didihan yang sama, celur kangkung selama 1 minit dan lakukan proses yang sama macam kacang tadi.
Akhir sekali curahkan air didihan tadi kedalam bekas taugeh dan toskan dengan segera untuk mengekalkan kerangupan rasa taugeh.
Potong lontong dan hidangkan bersama sayuran dan curahkan kuah diatasnya
Gado- gado sedia untuk dinikmati







    Keropok belinjau yang sedikit pahit rasanya tapi sangat sedap dikunyah





Tip kami :
Kuah gado- gado bersantan lebih enak rasanya
Boleh ditambah atau dikurangkan asam, garam dan gula mengikut selera masing-masing
Kalau kuah menggunakan santan, kuah hendaklah dimasak hingga mendidih untuk menggelakkan kuah cepat basi
Boleh ditambah kobis yang dicelur untuk tambahan sayuran







   Sepiring gado -gado yang mengenyangkan






    Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati






Selamat mencuba








Wednesday, 9 August 2017

LAKSAM KELANTAN









  
    Laksam Kelantan




Semasa berumur 12 tahun pada tahun 1980
Kami sekeluarga berhijrah dari Kedah Darul Aman ke Pahang Darul Makmur
Dengan azam dan tekad untuk mengubah nasib keluarga
Berpindah kedaerah yang baru
Kami bertemu kawan yang baru, jiran-jiran dari serata negeri seluruh Semenanjung
Dari sini kami dapat merasa pelbagai budaya dan menu makanan yang pelbagai
Jiran kami ada dari keturunan Jawa dan Banjar
Ada dari Melaka dan Kelantan







   Set lengkap laksam Kelantan




Disinilah kami diperkenalkan dengan laksam Kelantan
Ada seorang jiran kami yang berasal dari Negeri Kelantan
Pertama kali merasa dibibir kami dah jatuh cinta dengan rasanya
Apatah lagi bila merasa didalam mulut
Masya Allah TabarakaAllah sedapnya
Kami minta mak buatkan
Minta tunjuk ajar dari aruah Mak Chik Mek
Kami buat guna dapur kayu masa ni
Jenuhlah kami dok jaga api
Sebab Mak kata...
Nak makan sangatkan...
Jadi kenalah tolong
Puas hati kami dapat makan laksam airtangan sendiri
Kami simpan resepi ni sungguh-sungguh
Tulis dalam buku resepi
Tapi nasib kami tak berapa baik
Buku resepi kami rosak habih
Semut buat sarang kat dalamnya
Setelah mencuba berkali-kali
Dan bertanya dari pelbagai sumber
Inilah antara laksam yang kami suka
Menjadi kegemaran En.Suami dan anak-anak juga
Oleh itu dengan besar hati
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka....






   Mengamit nostalgia





LAKSAM KELANTAN
Diolah : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)

Bahan untuk laksam
Menghasilkan 12 gulung laksam
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh garam
4 3/4 cawan air suam
3 sudu besar minyak masak

Campurkan semua bahan-bahan  diatas sehingga sebati
Ketepikan sebentar anggaran 15 minit
Panaskan periuk kukusan dan sediakan loyang atau penutup periuk aluminium yang disapu dengan sedikit minyak masak
Tuangkan bancuhan tepung tadi dlm loyang yang telah dipanaskan
Lapisan tepung jangan terlalu tebal dan jangan terlalu nipis
Kukus selama 5 minit
Angkat dan lalukan bahagian bawah loyang di bawah air paip supaya cepat sejuk
Gunakan hujung sudu untuk mengeluarkan laksam dari loyang dan gulung kemas
Lakukan proses yang sama hingga habis adunan







   Gulungan laksam mestilah kemas dan cantik





Bahan untuk kuah laksam
Anggaran 6 orang makan
3 ekor ikan kembung atau 6 ekor ikan pelaling
2 biji bawang sederhana besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia 
1/2 sdu besar lada hitam - ditumbuk halus
1/2 sudu teh belacan bakar 
1 inci lengkuas - diketuk
2 cawan santan pekat
2 keping asam gelugur
1 cawan air- untuk merebus ikan
Garam dan gula secukup rasa

Ikan direbus bersama sedikit garam dan asam gelugur
Sejukkan dan kopek isi ikan dan simpan air rebusan dan asam gelugur
Kisarkan bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam dan belacan, gunakan ai rebusan ikan tadi untuk mengisar. Masukkan isi ikan dan kisar bersama 
Masukkan kedalam periuk bersama asam gelugur dan santan
Perasakan garam dan gulanya 
Masak hingga mendidih dan kacau sentiasa untuk mengelakkan santan bergentel







   Antara ulaman...kalau ada bunga kantan lagi sedap ni





Ulam-ulaman
2 batang kacang panjang- dihiris nipis
1/2 batang timun- buang batang tengah dan dihiris memanjang
Segengam taugeh- buang ekornya
3 helai kobis - dihiris nipis

Sambal laksam
10 biji cilipadi merah
1 biji cili merah
1/2 sudu teh belacan
Cuka makan atau limau kasturi
Garam dan gula secukup rasa

Kisar atau tumbuk semua bahan diatas






   Selamat menjamu selera





Cara menghidangkan laksam
Laksam dipotong nipis dan masukkan kedalam mangkuk
Letakkan ulam-ulaman dan letakkan kuah
Sedap dimakan bersama sambal










Tuesday, 8 August 2017

ASAM PEDAS MELAKA IKAN BAWAL MAS








    Asam pedas Melaka ikan bawal mas



Ikan bawal mas memang sesuai dimasak asam pedas
Sebab ikan ni sangat berlemak
Selalunya kami kukus berlimau je...
Kalau digoreng tak berapa nak sedap
Sebab terlampau berlemak....sampai rasa nak mual
Kemainlah sedapnya bila dimasak asam pedas 
Tambahan pula asam pedas melaka
Wanginya bau segala rempah
Bunga kantan pula tengah merimbun ditepi rumah
Segar-segar lagi...
Daun limau purutpun petik yang ditepi rumah jugak
Besar merimbun pokoknya
Buahnya pun banyak
Kami selalu petik buat gosok pada kulit kepala dan buat air mandian
Harumnya lahai...
Berbalik pada menu asam pedas tadi
Kami tambahkan juga sedikit buah tomato
Itu aje bahan yang ada dalam petisejuk
Apapun kuahnya mesti pekat
Kalau kuah cair En.Suami tak berapa gemar
Kegemarannya menu ni
Dah berkali kami titipkan resepinya
Tapi kali ni kami titipkan lagi sekali
Boleh cuba kalau suka







   Kuah yang pekat dan likat dan harum berempah





ASAM PEDAS BAWAL MAS MELAKA STAIL
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)

Bahan A
Digaulkan bersama biarkan 30 minit
2 ekor ikan bawal mas
1 sudu teh garam
1 sudu teh kunyit serbuk

Bahan B
Dikisar bersama 
1 biji bawang besar 
2 ulas bawang putih
10 biji cili kering - direndam dalam air panas hingga lembut
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 sudu teh lada hitam
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh ketumbar
1 sudu teh belacan bakar 

Bahan C
Untuk tumisan
1/4 sudu teh biji sawi
1/4 sudu teh halba
1 tangkai daun kari
1/4 cawan minyak untuk menumis

Bahan D
1 kuntum bunga kantan - dibelah 2
1 sudu besar asam jawa - diperah dengan 1/2 cawan air
1 biji tomato- belah 4
5 biji kacang bendi
Garam dan gula secukup rasa 


Panaskan minyak. Tumis bahan C hingga wangi dan terus masukkan Bahan B.
Tumis  sehingga  wangi dan pecah minyak, kalau selalu supaya tak hangit
Masukkan air asam jawa dan kacau rata. Tambahkan anggaran 2 cawan air lagi
Biarkan hingga mendidih masukkan Bahan A
Kemudian masukkan bunga kantan dan kesemua Bahan D
Perasakan garamnya dan biarkan hingga mendidih dan masak ikannya
Sedap dihidangkan bersama nasi putih, telur masin , sambal belacan dan ulaman







   Menu tambahan ikan gelama masin, sayur goreng kobis dan karot serta sambal belacan
   Makan tak ingat ni....









Monday, 7 August 2017

OPOR NANGKA DAN AYAM








    Opor nangka dan ayam





Pulang kekampung di Pahang
Ada jiran beri nangka muda pada Mak
Dah siap Mak kopekkan dan rebus
Balik kerumah kami tiba-tiba teringin nak makan opor
Kebetulan ada ayam didalam petisejuk
Sedap sangat opor ni...
Wangi bau daun limau purut dan cekur
Kalau tak salah kami
Menu ni asalnya dari Indonesia
Resepi asal kami ambik dari majalah Wanita edisi lama
Zaman belum ada internet bagi
Majalah merupakan sumber rujukan terbaik kami
Kami tulis balik resepi ni dalam buku resepi ajaib kami
Yang dah berkurun lamanya kami simpan







   Ada juga ikan pelaling goreng garing dan sambal mangga serta ulaman





Kami makan opor nangka ni bersama nasi putih
Goreng pulak pelaling garing-garing
Kebetulan pulak ada mangga
Buat juga sambal mangga
Kemainlah sedapnya lahai
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...








   Secukup rasa...pedas dan berlemak






OPOR NANGKA
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)


Bahan A
1/2 ekor ayam atau 1/2 kilo daging
1/2 kilo nangka muda
300 gram daging atau ayam

Bahan B
Dikisar bersama
15 biji cili kering - direndam air panas hingga lembut
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 sudu teh belacan
1 sudu besar udang kering
3 sudu besar ketumbar 
1 sudu besar jintan manis
1/2 sudu jintan putih
5 biji lada hitam 
3 biji buah keras

Bahan C
1/2 biji kerisik kelapa
3 cawan santan - dari  sebiji kelapa

Bahan D
2 helai daun limau purut - dibuang tulang tengahnya 
2 helai daun salam
1 helai daun cekur
I keping asam gelugur
Garam dan gula secukup rasa

Rebus nangka hingga agak lembut, ketepikan sebentar
Masukkan Bahan B kedalam periuk yang agak besar dan masukkan ayam atau daging
Kecutkan ayam atau daging tadi hingga empuk dan kering airnya
Masukkan santan dan kacau rata, masak hingga kuah mendidih
Masukkan nangka dan kerisik dan masak lagi hingga kuah agak pekat
Masukkan Bahan D dan perasakan kuahnya
Sedia dihidangkan







    Penambah selera, sambal mangga serta ulam daun kemangi dan timun





Selamat memasak semua...







Thursday, 15 December 2016

APAM NASI LETAK ENO









   Apam nasi letak Eno




Ni la resepi apom nasi yang kami paling suka tiga puluh tahun yang lalu
Rasanya lebih kurang sama dengan yang kakak kat felda bukit mendi tu buat
Kami titipkan juga resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...






   Sarapan dengan apam, nasi goreng dan telur dadar





APAM NASI LETAK ENO
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan A
1 cawan nasi sejuk
1 1/2  cawan air
1 cawan gula pasir

Bahan B
2 sudu besar tepung gandum
2 cwn tepung beras
1 sudu kecil yis (mauripan)

Bahan C
I peket Eno biru

Bahan D
1 cawan kelapa parut putih
1/4 sudu teh garam

Kisar nasi dan air sehingga hancur dengan memasukkan air sedikit demi sedikit 
Setelah hancur dan halus masukkan gula ke dalamnya dan  kisar lagi sehingga sebati.
Masukkan pula bahan B ,kisar sekejap hingga semuanya sebati
Perap selama 5 jam.
Gaulkan bersama Eno, masukkan kedalam loyang yang telah disapukan sedikit minyak 
Kukus selama 25 minit
Atau
Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan letakkan pewarna yang disukai 
Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain.
Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
Masukkan adunan kedalam acuan kecil dan kukus selama 15 minit. 

Hidang bersama kelapa yg telah di gaul dengan sedikit garam











APAM NASI








  
    Apam nasi 




Kami paling suka kuih apam
Masa kecik-kecik kami panggei kuih ni apom
Mak kami sangat suka buat kuih ni masa kami duduk di Kedah dulu
Bila dah pindah ke Pahang Mak dah tak buat kuih apom ni lagi
Kata Mak batu pengisar beras dah tak dak
Kuih apom kena buat dari beras yang dikisar baru elok jadinya
Kalau guna tepung beras paket tak berapa nak elok kejadiannya 
Lama lepaih tu kami tak makan kuih apom ni
Sampai la masa dok tunggu keputusan peperiksaan SPM
Kami pi kerja kat kedai makan saudara  
Tiap-tiap hari ada seorang Kakak ni dok hantar kuih apom kat kedai untuk jualan
Punyalah sedap kuih apomnya 
Putih dan gebu....
Kami suruh Mak Jang kami yang tokey kedai tu tanyakan resepinya 
Kakak tu kata dia boh nasi sejuk dalam adunan apomnya 
Tapi tak bagitau cara atau suaktannya 
Punyalah kecewa hati kami...
Tambahan pula masa tu kami dah nak berhenti kerja kat kedai Mak Jang tu...
Keputusan SPM dah keluaq
Kami dapat tawaran masuk ITM Shah Alam
Alhamdulillah bila dah tua ni...
Kami jumpa resepi apom nasi ni kat internet
Kami suka dengan resepi yang ni...
Menepati selera dan citarasa kami
Dengan itu kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka.....







   Hidangkan dengan kelapa parut putih bergaram dan nescafe susu ....sangatlah sedapnya





APAM NASI
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan A
2 cawan nasi sejuk
2 1/2  cawan air
1 3/4 cawan gula pasir

Bahan B
2 cwn tepung gandum
2 cwn tepung beras
2 sudu kecil yis (mauripan)

Bahan C
Pewarna merah dan hijau

Bahan D
1 cawan kelapa parut putih
1/4 sudu teh garam

Kisar nasi dan air sehingga hancur dengan memasukkan air sedikit demi sedikit 
Setelah hancur dan halus masukkan gula ke dalamnya dan kisarlagi sehingga sebati.
Didalam bekas yang berlainan masukkan bahan B dan gaul hingga rata
Masukkan semua bahan A yang dikisar tadi kedalam bahan B dan kacau sehingga sebati. 
Perap selama 3 jam.
Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan letakkan pewarna yang disukai 
Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain.
Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
Masukkan adunan kedalam acuan kecil dan kukus selama 15 minit. 
Hidang bersama kelapa yg telah di gaul dengan sedikit garam

Tip kami:
Untuk kelapa tahan lama, kukus kelapa dengan garam selama lima minit
Gantikan gula pasir dengan gula kabung atau gula perang untuk mendapatkan apam gula merah
Kukus selama 30 hingga 40 minit kalau menggunakan loyang besar
Satu adunan akan menghasilkan 24- 30 biji apam seperti kami buat tu.









Monday, 12 December 2016

CUCUR CRAB STICK








 
   Cucur crab stick 





Cucur menu kegemaran keluarga kami 
Buat setiap hari pun takpa 
Untuk sarapan pagi, minum petang atau snek malam 
Tak pernah tak habis...
Selalunya kami hidangkan dengan lebihan gulai atau sambal tumis 
Paling sedap kalau sambal tumis sardin
Memang ngamm betul rasanya
Tak kiralah cucur udang, cucur bilis ataupun sekadar cucur bawang dan sayuran
Kali ni kami buat cucur crab  stick
Pun sangat sedap
Kami hidangkan bersama kuah kacang dan sambal sardin
Nak makan begitu saja pun dah cukup sedap
Secukup rasa
Tanpa membuang masa kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...








  Hidangkan bersama kuah kacang dan sambal sardin





CUCUR CRAB STICK
Resepi : Aniza Little Kitchen

Bahan A
Digaul bersama
2 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung beras
1/4 sudu teh soda bikarbonat 

Bahan B
1 cawan taugeh
6 batang crab stick - dipotong 1/4 inci
1/2 cawan kucai - dihiris
1 labu bawang besar - dihiris
1/4 cawan isi jagung manis - kalau suka
1 biji ubi kentang - dipotong dadu ( kalau suka)
1 biji telur - dipukul sedikit
1 sudu teh garam
1/2 sudu teh perasa ikan bilis kalau suka
1 1/4 cawan air bergantung pada kelembutan kuih, kalau kurang boleh tambah

Campurkan semua bahan A dan Bahan B dan gaul sebati, adunan sepatutnya sedikit keras sebab kita menggunakan soda dan telur . Kalau adunan terlalu lembut akan dikhuatiri meresap terlalu banyak minyak.
Panaskan minyak dan goreng cucur tadi hingga kekuningan. Toskan 
Sedia dihidangkan bersama kuah kacang, sambal atau gulai

Tip ibu:
Untuk mendapatkan cucur yang comey, rangup diluar tp lembut didalam ..tepung hendaklah dibancuh dengan secawan air panas baru diletakkan bahan lain dan ditambah air biasa. Goreng seperti biasa.

Cadangan hidangan:
Enak dimakan bersama gulai,sambal tumis atau sos cili
Enak juga di sajikan bersama sos cili yang diletakkan sedikit mayonise
Sedap sangat dihidangkan bersama kuah kacang








   Menu yang sangat mudah tapi sangat sedap