Wednesday, 25 May 2016

APAM KAMPUNG









  Apam kampung



Teringat dulu-dulu
Kemain susah lagi kalau nak makan apam
Kami orang kedah panggei apom
Kena buat ibu dulu...
Kena peram ibu roti dengan tepung dua hari 
Sampai berbuih- buih dan berbau sangat masam
Mak kami simpan ataih para...
Letak dalam mangkuk ayan lapik dengan pinggan ayan yang berisi air
Takut semut dok pi hurung...
Dua hari lepaih tu barulah jadi apom...
Baru boleh buat menyorok aka sarapan pagi...
Lupa pulak nak bagitau...
Kami guna tepung beras yang dikisar guna lesung kisar
Berjam-jam nak habiskan setakat dua pot susu beras
Lenguh tangan kebas buntut nak menyiapkannya...
Sekarang mudah....
Koyak plastik terus dapat tepung...
Peram guna mauripan kejap aja dah naik tinggi 
Terus boleh kukus 
Dalam masa 2 jam dah boleh makan apam
Mudah dan senang....
Kali ni kami buat apam guna tepung gandum
Ceduk ilmu dari puan Yatie pakar KUIH MELAYU
Cantik dan molek sungguh kejadiannya 
Kami sangat berpuashati dengan teksturnya dan rasanya
Oleh itu....
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka....





  Perasa pandan 




APAM KAMPUNG
Resepi asal : blog yatie memories
Diolah oleh : Aniza Little Kitchen

Bahan A 
2 sudu kecil rata yis mauripan
1/4 cwn air suam
1 sudu kecil gula halus

Bahan B
2 cwn tepung gandum
1/2 cwn gula pasir
1 1/4 cawan air
secubit garam 
1 sudu kecil perisa pandan
1 sudu kecil pewarna hijau


Satukan bahan A, kacau rata dan biarkan 5 minit atau sehingga berbuih.
Satukan bahan B dlm mangkuk besar dan gaul rata.
Masukkan bahan A tadi. Gaulkan, setelah sebati, tutup dan biarkan perap selama 1/2 jam.
Lenserkan loyang  9x9x3 inci dngn sedikit minyak, gaulkan lagi adunan tadi sebati dan tuangkan adunan ke dlm loyang dan biarkan selama 1/2 jam lagi. Kukus adunan selama 40 minit.
Biarkan kuih  betul-betul sejuk barulah di potong dngn menggunakan pisau tajam dngn cara spt gergaji kedepan ke belakang supaya kuih tak kelihatan mampat.
Sedap di makan bersama kelapa parut putih yg di gaul dngn sedikit garam.






   Perasa ros





Tip tambahan dari Puan Yatie:
Selalunya saya gaul sebati adunan, kemudian perap 1/2 jam. Setelah setengah  jam, saya gaul rata lagi, barulah tuang dlm loyang yg telah di gris minyak. Saya perapkan lagi dlm 1/2 jam dan terus kukus dlm 40 minit. Saya buat mcm ni supaya apam ni naik cantik dan halus je texture nya. Kalau kita terus tuang kat loyang dan perap, kemudian kukus, apam naik tinggi tapi texture nya kasar. Terpulang pada selera masing-masing ya.
Jangan biarkan adunan apam terlebih naik, nanti apam rasa masam dan menurun bila di kukus. 
Kalau mahukan apam naik tinggi sikit, guna loyang 8 inci utk adunan ni.
Kalau guna acuan seperti di atas, kukus selama 20 minit. Sebelum tuang adunan, sapukan sedikit minyak di sekeliling acuan. 











ONDEH-ONDEH BIJAN AKA KUIH BOM INTI KACANG HIJAU









   Ondeh-ondeh bijan



Ada yang panggei ondeh-ondeh
Ada yang dok sebut kuih bom
Ada yang kata namanya kuih bijan
Ada yang letak inti nyior atau kelapa
Ada suka inti kacang tanah
Kami orang kedah suka letak inti kacang hijau
Pada kami semuanya sedap belaka
Ada yang letak ubi keledek 
Ada yang letak kentang
Ada juga yang campurkan tepung beras
Semua ok...
Semua kena belaka...
Ondeh- ondeh yang sedap pada kami 
Kulitnya lembut tapi tak berminyak
Intinya manis dan berlemak
Kami suka kulitnya yang sedikit gelap 
Paling gemar inti kacang hijau
Sebab tu kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...,





    Ondeh-ondeh inti kacang hijau



ONDEH-ONDEH BIJAN
Resepi : Aniza Little Kitchen ( Aniza Saidin)

Bahan A
Diayak bersama
2 1/2 cawan tepung pulut
2 sudu besar  tepung gandum

Bahan  B
Dicampurkan sebati
1 cawan air suam
2 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam

Bahan C
Bijan secukupnya
Inti kacang hijau atau inti kelapa atau inti kacang tanah 

Masukkan Bahan B kedalam Bahan A dan uli hingga sebati
Kalau keras boleh ditambahkan sedikit air lagi
Ambil sedikit adunan leperkan, masukkan inti dan tutup dengan kemas
Bulatkan atau bentukkan ikut kesukaan
Golekkan diatas bijan hingga menutupi semua permukaan tepung
Buat hingga siap semuanya
Rehatkan selama 30 minit
Goreng dengan minyak yang banyak, gunakan api yang sederhana panas hingga keperangan
Toskan minyak dan sedia dihidangkan




   
     Extra garing



Inti kacang hijau
500 gm kacang hijau - direndam semalamam 
1 1/2 cawan gula pasir
1 keping gula melaka
1 helai daun pandan
1/2 cawan minyak masak
Cara-cara
Kacang hijau di rebus sehingga empuk dan lembut
Boleh gunakan pressure cooker
Masukan gula pasir, gula melaka, minyak masak dan daun pandan. Masak lagi sehingga pekat 
Sejukkan


Tip kami :
Jangan digoreng terus kuih sesudah siap. Biarkan anggaran 1 jam untuk mengelakkan kuih meletup











Monday, 23 May 2016

KETAM BERSOS PLUM





     





KETAM BERSOS PLUM
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)

Bahan A
3 ekor ketam -dibersihkan dan dipotong 2
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh garam

Bahan B
Dikisar bersama
3 ulas bawang putih
I biji  bawang besar
1" halia

Bahan C
2 sudu cili kisar

Bahan D
2 sudu sos tomato
1 sudu sos tiram
3 sudu sos plum- kami guna jenama life
3/4 cawan air
Garam secukup rasa
Minyak untuk mengoreng

Satukan bahan A hingga rata dan letakkan ketam didalam loyang
Kukus hingga ketam masak dan toskan,simpan air lebihan ketam tadi
Panaskan minyak dalam kuali goreng ketam sebentar , tak perlu lama sebab ketam sudah masak
Keluarkan lebihan minyak dan tinggalkan anggaran 3 sudu besar
Tumiskan bahan B, kacau hingga wangi dan agak garing
Masukkan pula bahan C, kacau hingga cili garing
Masukkan bahan D dan air ketam tadi
Biarkan agak pekat baru dimasukkan ketam 
Kacau sebentar dan sedia dihidangkan










Tip kami :
Selepas dikukus bolehlah disalut ketam dengan sebiji telur yang dipukul sedikit dan golekkan di atas tepung jagung barulah digoreng, proses ini akan menghasilkan kulit ketam yang rangup
Boleh juga dimasukkan sebiji telur didalam kuah yang mendidih , dikacau sebentar barulah di curah di atas ketam tadi.





Sunday, 22 May 2016

NASI AYAM WARISAN

P



Nasi ayam warisan 



Kami belajar masak Nasi ayam masa berumur 13 tahun
Jiran sebelah rumah kami dikampung Kak Zah sangat pandai masak Nasi ayam 
Sedap sungguh tapi Mak kami jarang masak Nasi Ayam sebab tak berapa suka dengan baunya
Bila kami dah kahwin kami selalu masak Nasi Ayam untuk Suami dan anak-anak
Ambil resepi dari kawan office Miss Wong cara masak nasi ayam Chinese style
Semuanya ada keistimewaan tersendiri 
Kami cuba semua cara dan campur adunkan samapilah kami puashati dengan rasanya
Resepi ni yang paling kami suka...
Nasinya lembut dan tak berminyak 
Ayamnya pun sangat sedap
Secukup rasa....
Apapun kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...







Nasi ayam yang lembut dan bewarna kuning keemasan 




NASI AYAM WARISAN
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little Kitchen)

Bahan A
1 ekor ayam -melebihi 2kg beratnya 
1 inci halia - diketuk
4 ulas bawang putih - diketuk
Air secukupnya 
Ayam boleh dipotong 4 atau dibiarkan seekor terus
 
Bahan B
Untuk perapkan ayam
3 ulas bawang putih - ditumbuk halus
1 inci halia - ditumbuk halus
2 sudu besar madu
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1 sudu kecil minyak bijan - kalau suka

Bahan C
4 cawan beras
1/2 sudu teh serbuk kunyit
3 ulas bawang putih
1 inci halia
I kiub pati ayam 
2 helai daun salam atau bay leaves
1 helai daun pandan
Lemak ayam - kalau suka atau gantikan dengan 2 sudu mentega
4 cawan air rebusan ayam
3 butir gula batu
1 sudu kecil garam

Bahan D
Untuk Sup
2 ulas bawang merah - dimayang halus
2 ulas bawang putih- dimayang halus
Sedikit halia- diketuk
Air rebusan ayam
Garam secukup rasa
Daun sup, daun bawang dan bawang goreng

Bahan E
Untuk sambal merah
4 biji cili merah - dibuang biji ha
4 biji cilipadi merah
2 ulas bawang putih
Sebesar hujung jari halia
2 sudu besar sos cili
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu teh jus limau atau cuka makan
1/2 cawan air rebusan ayam

Bahan F
Untuk kuah kicap
1/4 cawan sup
1 sudu besar kicap 


Rebus air hingga mendidih bersama halia dan bawang putih 
Masukkan  ayam dan rebus dengan api yang kuat anggaran 5 hingga 6 minit
Kalau seekor ayam rebus anggaran 10 hingga 12 minit.
Tutup periuk semasa merebus dan pastikan ayam tenggelam sepenuhnya
Toskan ayam diatas jaring dan simpan air rebusan untuk memasak nasi nanti
Satukan semua bahan B dan gaulkan hingga rata pada ayam yang sudah ditoskan tadi
Perapkan anggaran 15 hingga 30 minit
Boleh digoreng atau dibakar
Rendamkan beras bersama serbuk kunyit anggaran 15 minit dan toskan
Panaskan periuk dan masukkan lemak ayam
Tunggu hingga lemak mencair, tumiskan halia serta bawang putih hingga wangi
Masukkan daun salam dan daun pandan
Masukkan beras dan air rebusan asam serta kiub pati ayam dan garam
Pindahkan ke rice cooker dan masak seperti biasa
Untuk supnya pulak
Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi
Masukkan air rebusan ayam
Masukkan garam secukup rasa dan masak hingga mendidih
Masukkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng semasa menghidang
Untuk sambal merah
Kisarkan cili, bawang putih serta halia
Masak dengan api perlahan bersama bahan lainnya







Ayam yang dipanggang







Kami potong empat ayam ni...senang sikit proses nak merebus



















Thursday, 5 May 2016

ASAM PEDAS MELAKA BEREMPAH


Asam pedas kegemaran En. Suami kami
Tak menolak kalau menu asam pedas
Tapi kena pekat dan likat
Ada pula sambal belacan dan telur masin dan sedikit ulaman
Cukuplah buat makan nasi bertambah-tambah
Asam pedas kami ada berbagai versi
Kami dah cuba berbagai cara memasak asam pedas
Semua kami suka.....
Yang letak daun kari, yang daun purut dan daun kesum
Semuanya ada keistimewaan sendiri
Ada yang letak halia dan lengkuas
Ada yang cuma serai diketuk
Yang ada cuma cili dan bawang....

Asam pedas daging tetel salah satu kegemaran keluarga kami juga
Dulu kami ada titipkan resepinya 
Kalau ada yang teringin nak mencuba bolehlah selongkar gobok lauk pauk kami ni...
Kebetulan ada beli ikan jenahak masa balik kola selangor hari tu...
Kepalanya dah kami jadikan kari pekat...
Ekornya dah selamat dimasak sup...
Teringin pula nak masak asam pedas melaka yang berempah ni...
Pernah makan masa singgah dirumah jiran yang mak mertuanya orang Melaka
Sedap sangat masak asam ikan merahnya....
Ringan mulut kami bertanyakan resepinya
Terima kasih banyak-banyak Mak Teh sudi kongsikan resepi ni dengan kami...
Semoga menjadi ilmu yang bermenafaat...
Bersama ini kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...






 
Asam pedas berempah ikan Jenahak



ASAM PEDAS BEREMPAH IKAN JENAHAK
Resepi : Aniza Little Kitchen

Bahan A
4 sudu besar minyak
I sudu teh halba
2 batang serai - dititik 

Bahan B
Dikisar halus
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

Bahan C
4 sudu besar cili giling
1/2 sudu teh belacan
1/4 sudu teh serbuk ketumbar
1/4 sudu teh serbuk jintan manis
1/4 sudu teh serbuk jintan putih 
1/2 cawan air
  
Bahan D
1 sudu teh pes asam jawa
2 cawan air
Garam dan gula secukupnya

Bahan E
2 ketul ikan jenahak
2 helai daun limau purut atau daun kesum
1 batang bunga kantan
Bendi, tomato dan terung

Tumiskan bahan A hingga garing dan wangi
Masukkan  bahan B, tumis lagi hingga wangi
Masukkan pula bahan C, masak hingga wangi dan garing. Tambah air kalau perlu
Masukkan bahan D, biarkan hingga mendidih
Masukkan ikan dan kuatkan api selama 5 minit
Masukkan sayuran dan biarkan hingga masak








Pekat dan likat





Tip kami : kalau tak suka asam pedas yang berempah, tidak perlu diletakkan jintan dan ketumbar
Boleh juga dimasukkan daun kesom untuk menggantikan daun limau purut
Terung seeloknya digoreng sebentar untuk menambahkan rasa
 
Cadangan hidangan
Sedap dimakan bersama nasi panas , telur masin , sambal belacan dan ulaman.
Bendi boleh dicelur berasingan dan diletakkan semasa menghidang ataupun dijadikan ulam
Sedap juga digandingkan bersama telur dadar dan kacang panjang goreng bertelur.








Tuesday, 19 April 2016

SIBALDU MERAH (RED VELVET CAKE)









Sibaldu merah yang sangat anggun




Sibaldu merah....
Namanya seindah rupanya
Kami dah cuba beberapa kali
Mencuba beberapa resepi
Resepi dari Divas Can Cook juga yang paling kami gemari
Walaupun anak-anak tak berapa minat dengan kek atau cupcakes ni
Kami tetap suka membuatnya
Untuk teman anak- anak
Ataupun disedekahkan pada jiran-jiran
Tapi kami akan kurangkan pewarna merah
Takut dengan jumlah pewarna yang digunakan
Sebab tu sibaldu merah kami tak berapa ceria warnanya
Lebih kepada kecoklatan sikit
Kesedapan kek baldu merah ni terletak pada toppingnya 
Kami cuma guna cream cheese jenama tartura 
Guna jenama Philadelphia pun sedap
Bergantung kepada selera masing-masing
Terima kasih kepada tuan punya blog ni
Kerana sudi berkongsi resepi yang sedap ni
Bersama ini kami titipkan resepinya
Boleh cuba kalau suka....








Comotnya hasil kerja kami 4 tahun yang lalu...untuk hari jadi Sara Hanum yang ke 18 rasanya




Red Velvet Cake
Sumber : Divas Can Cook
Di olah oleh : Aniza Little Kitchen

Bahan A
400 gram gula halus
1 cawan minyak jagung

Bahan B
Campurkan bersama
2 biji telur gred A
1 cawan buttermilk
2 sudu teh Essen Vanila
1 sudu besar pewarna merah

Bahan C
1 sudu teh cuka masakan
1/2 cawan air kopi panas ( instant coffee)

Bahan Bahan D
Ayak bersama
360 gram tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
2 sudu besar serbuk koko

Pukul bahan A hingga sebati
Campurkan bahan B
Campurkan C
Campurkan D, kacau sebati
Masukkan dalam loyang  8 Inci yang digris atau dialas baking paper
Bakar pada suhu 170 C selama 40 minit
Untuk cupcakes bakar selama 25 minit bergantung kepada oven masing2






Versi cupcakes


Cream Cheese Frosting
Oleh: Azie Kitchen
Di olah : aniza little kitchen

Bahan bahan:
8 oz (226 gram)cream cheese - sejuk
5 sudu besar butter - lembut (70.8 gm/2.5 oz)
2 sudu teh  vanilla extract
2 cawan gula ising - ayak

Putar cream cheese dengan butter dan vanilla extract sehingga sebati.
Sedikit demi sedikit, masukkan gula ising sehingga mencapai konsistensi dan kemanisan yang disukai.
Simpan di dalam peti sejuk sehingga agak stiff sebelum menggunakannya. Boleh disimpan di dalam peti sejuk sehingga 3 hari.



Cara membuat buttermilk sendiri
1 cawan susu segar
1 sudu besar jus lemon atau 1 sudu besar cuka makan

Campurkan susu bersama jus lemon atau cuka dan kacau rata.
Biarkan anggaran 5 hingga 10 minit
Buttermilk dah sedia digunakan









MENU ATKINS LAGI



Terjumpa lagi gambar menu masa zaman rajin beratkins dulu
Walaupun kami tak ingat sukatan untuk setiap resepi
Tapi kami letakkan juga gambarnya disini
Kut-kut lepaih ni nak beratkins semula
Masa ni kami berdiet dengan En.Suami dan anak solehah Sara Hanum
Gigih kami mencipta  resepi setiap hari
Nak bagi mereka berdua teruja nak berdiet
Tak mau berhenti separuh jalan
Alhamdulillah dekat sepuluh kilo jugalah lelemak tu hilangkan dalam sebulan
Seronok sangat tengok En.Suami semakin kurus
Tapi kami merana betul
Dapatlah juga hilangkan lelemak lapan kilo 
Sebabnya kami sukar  nak menelan semua menu Atkins tu
Walaupun nampak sangat enak dan lazat
Sebab tekak kami ni tekak melayu asli...
Suka sambal belacan dan kari 
Bersama ini kami titipkan juga gambarnya...
Boleh cuba kalau suka....






Beef patties ni kami gunakan daging yang dikisar, kami gunakan food processor untuk mengisar 500 gram daging campurkan seulas bawang putih, 1/2 sudu teh lada hitam, dua tangkai daun bawang dan dua tangkai daun sup, kami letakkan juga sedikit oregano dan thyme. Jangan lupa sedikit garam. Pecahkan juga sebiji telur kedalam adunan. Masukkan adunan kedalam piping bag dan picitkan diatas non stick pan yang dipanaskan dengan sedikit minyak zaitun.






Menggunakan adunan yang sama kami jadikan meatball, rebuskan adunan didalam  sup simple yang kami letakkan sedikit Karot dan sawi putih







Beef patties yang diletakkan cheddar cheese dan tomato, hati- hati dengan penggunaan tomato dalam menu Atkins kerana ia antara sayuran yang tinggi kandungan carbnya...





Sausage ayam, resepi yang sama dengan chicken patties diatas







Chicken patties dihidangkan bersama timun






Eggs roll, telur dadar nipis di gulung bersama sausage ayam diatas, timun dan batang saleri. Boleh juga diletakkan sedikit mayonise kewpie yang bewarna merah





Pandangan Dari atas





Chicken Gorden Bleu...perapkan dada ayam bersama lada hitam, sedikit garam dan Rosemary. Balutkan bersama cheddar cheese dan batang saleri. Bakar diatas non stick pan hingga masak







Untuk mendapatkan rasa puas semasa makan, kami selalu sediakan sup bersama bahan protein dan sayuran mentah juga sebagai snek atau kudapan 







Telur dadar bersama brokolli, sarapan yang lengkap dan enak. Seeloknya tutup kuali sebentar semasa mendadar telur untuk mendapatkan hasil seperti diatas






Ayam panggang Rosemary , telur dadar dan sup sayur






Brokolli dikukus, tumiskan setengah ulas bawang putih dengan sedikit minyak zaitun, gaulkan brokolli yang sudah dikukus tadi, taburkan juga sedikit lada hitam. Sesuai dijadikan snek ataupun kudapan 






Cucur whey protein, kami gunakan 2 scoop whey protein di campurkan dgn 2 biji telur, sedikit garam ,daun bawang, daun sup dan 3 ekor udang sederhana besar. Untuk cicahan kami gunakan mayonise kewpie bewarna merah yang direnjiskan sedikit serbuk cayenne






Scrambled egg dan timun. Jangan gunakan susu cair semasa membuat scramble egg, cuma tambahkan sedikit air, secubit garam serta daun bawang dan daun sup






Paling simple...ikan Tenggiri goreng dan sayur bayam merah. Selalunya untuk menghilangkan rasa mual semasa meratah ikan, Kami akan tumiskan sedikit bawang dan masukkan 2 besar sudu air dan sesudu besar apple cider, dah mendidih masukkan ikan. Rasanya seperti ikan masak cuka







Bawal mas kukus. Kukuskan bawal emas dengan campuran sesudu besar apple cider, sedikit garam, daun limau purut, daun ketumbar dan serai






Sayur sawi steam macam brokolli tu rasanya





Makan dengan set ayam panggang...set makan tengahari atau makan malam yang lengkap






Chicken nugget, gunakan resepi yang sama macam chicken patties tapi kami salutkan dengan physillium husk. Kami bakarkan atas non stick pan aje tanpa menggoreng, kami hidangkan bersama salad dan timun jepun bersama sos mayonise yang dicampurkan sedikit serbuk cayenne 





Bekalan En. Suami ke opis...masa ni baru mula beratkins kami memang buat clean diet





Menu bekalan lagi...





Set bekalan untuk makan tengahari dan kudapan petang 







Tomyam Putih...adakalanya kalau dah tak boleh telan segala menu telur, ayam dan lain-lain, kami akan masak tomyam putih ni buat hirup kuahnya dan menghilangkan rasa mual. Kami akan gunakan apple cider atau asam gelugur sebagai ganti jus limau. Penggunaan tomato dan karot kami pastikan jumlah carb tak melebihi 20 gram untuk hari tersebut. Jangan dok pi makan sebatang Karot dan sebiji tomato pulak naa....nanti mr.ketosis lariiii...





Kalau sampai menangis tak boleh telan menu Atkins kami terpaksa menipu diri sendiri sikit. Kami ratah terung bakar yang kami taburkan dengan ikan bilis yang ditumbuk bersama cilipadi dan sedikit apple cider. Tapikan lepas tu kami kena pulun senam lebih sikit sebab dah terlebih ambil carb....






Ikan siakap bakar...kami lumurkan ikan dengan sedikit kunyit dan seulas bawang putih yang dicincang halus. Bakar dalam pemanggang ajaib.





Sayur kangkung...mudah dan kurang jumlah carb, satu cawan cuma 1 -2 g carb. Kami campurkan sedikit ikan bilis semasa menggoreng kangkung ni. Goreng dengan 1/2 sudu besar minyak dan 1/2 ulas bawang putih yang kecil



Walaupun masih banyak menu yang lain nanti kami kongsikan lagi yer
Nak dapat hasil diet yang bagus kena rajin cari ilmu
Jangan kata...boleh makan tomato, pergi kunyah dua tiga biji sekali 
Ambillah sepotong hanya sebagai perasa atau untuk menambahkan warna pada menu
Ingat kena cantik dimata....
Baru sedap di mulut
Selamat beratkins