Thursday, 5 May 2016

ASAM PEDAS MELAKA BEREMPAH


Asam pedas kegemaran En. Suami kami
Tak menolak kalau menu asam pedas
Tapi kena pekat dan likat
Ada pula sambal belacan dan telur masin dan sedikit ulaman
Cukuplah buat makan nasi bertambah-tambah
Asam pedas kami ada berbagai versi
Kami dah cuba berbagai cara memasak asam pedas
Semua kami suka.....
Yang letak daun kari, yang daun purut dan daun kesum
Semuanya ada keistimewaan sendiri
Ada yang letak halia dan lengkuas
Ada yang cuma serai diketuk
Yang ada cuma cili dan bawang....

Asam pedas daging tetel salah satu kegemaran keluarga kami juga
Dulu kami ada titipkan resepinya 
Kalau ada yang teringin nak mencuba bolehlah selongkar gobok lauk pauk kami ni...
Kebetulan ada beli ikan jenahak masa balik kola selangor hari tu...
Kepalanya dah kami jadikan kari pekat...
Ekornya dah selamat dimasak sup...
Teringin pula nak masak asam pedas melaka yang berempah ni...
Pernah makan masa singgah dirumah jiran yang mak mertuanya orang Melaka
Sedap sangat masak asam ikan merahnya....
Ringan mulut kami bertanyakan resepinya
Terima kasih banyak-banyak Mak Teh sudi kongsikan resepi ni dengan kami...
Semoga menjadi ilmu yang bermenafaat...
Bersama ini kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...






 
Asam pedas berempah ikan Jenahak



ASAM PEDAS BEREMPAH IKAN JENAHAK
Resepi : Aniza Little Kitchen

Bahan A
4 sudu besar minyak
I sudu teh halba
2 batang serai - dititik 

Bahan B
Dikisar halus
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

Bahan C
4 sudu besar cili giling
1/2 sudu teh belacan
1/4 sudu teh serbuk ketumbar
1/4 sudu teh serbuk jintan manis
1/4 sudu teh serbuk jintan putih 
1/2 cawan air
  
Bahan D
1 sudu teh pes asam jawa
2 cawan air
Garam dan gula secukupnya

Bahan E
2 ketul ikan jenahak
2 helai daun limau purut atau daun kesum
1 batang bunga kantan
Bendi, tomato dan terung

Tumiskan bahan A hingga garing dan wangi
Masukkan  bahan B, tumis lagi hingga wangi
Masukkan pula bahan C, masak hingga wangi dan garing. Tambah air kalau perlu
Masukkan bahan D, biarkan hingga mendidih
Masukkan ikan dan kuatkan api selama 5 minit
Masukkan sayuran dan biarkan hingga masak








Pekat dan likat





Tip kami : kalau tak suka asam pedas yang berempah, tidak perlu diletakkan jintan dan ketumbar
Boleh juga dimasukkan daun kesom untuk menggantikan daun limau purut
Terung seeloknya digoreng sebentar untuk menambahkan rasa
 
Cadangan hidangan
Sedap dimakan bersama nasi panas , telur masin , sambal belacan dan ulaman.
Bendi boleh dicelur berasingan dan diletakkan semasa menghidang ataupun dijadikan ulam
Sedap juga digandingkan bersama telur dadar dan kacang panjang goreng bertelur.








1 comment:

  1. Yes.. asam pedas berempah ni sedap. Mira suka extra masam and extra pekat kuahnyer..

    Selalunyer Mira letak extra biji ketumbar, together with jintan putih dan jintan manis as per the above recipe 🤭. Main blend je dengan bawang, kunyit, lengkuas, cili and belacan ☺.


    ReplyDelete