Wednesday, 25 May 2016

AYAM KARAMEL







   Ayam karamel



Dulu kerap sungguh kami dok masak ayam karamel ni...
Masa anak-anak masih ramai dirumah
Resepi mudah dan senang
Cepat pulak tu nak siapkan
Yang paling penting anak-anak suka
Walaupun kerap dok buat ayam ni...
Tak jumpa pulak gambar yang elok sikit 
Mungkin masa tu kami malaih nak ambik gambaq
Ataupun tak sempat nak ambik...
Ayamnya sudah licin
Apapun untuk kenangan dan simpanan sendiri
Kami titipkan juga resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...






   Sedap diratah begitu saja....



AYAM CARAMEL
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen )


Bahan A
6 ketul paha ayam atau kepak
1 inci halia- ditumbuk lumat
3 ulas bawang putih- ditumbuk lumat
1 sudu teh lemon juice- tak letak pun tak pe
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh oregano- tak letak pun tak pe

Bahan B
4 sudu gula
1 cawan air

Bahan C
1 sudu sos tiram
1 sudu kicap manis
1 sudu sos cili
1 sudu minyak masak
 
Bahan D
2 sudu madu

Perapkan bahan A selama 1/2 jam
Masakkan gula didalam kuali dengan api perlahan hingga gula keperangan
Masukkan air dan biarkan hingga gula mencair
Masukkan bahan A dan bahan C
Rebus hingga kuahnya hampir kering dan berbuih-buih
Masukkan bahan D dan teruskan memasak hingga kuahnya hampir kering
Sedia dihidangkan..


Tip kami :
Boleh dipanggang ayam sebentar kalau suka rasa dan aroma ayam panggang












TAUHU LEMBUT KUKUS BERSAMA DAGING KISAR











  Tauhu lembut kukus bersama daging kisar




Kegemaran anak solehah kami ni...
Termasuk juga adik-adiknya 
Mereka gemar sangat segala bentuk tauhu 
Menurun selera ayahandanya kut....
Segala menu berasaskan tauhu, mereka tak menolak
Tauhu sumbat
Tauhu bakar 
Rojak tauhu
Tauhu anura 
Apa- apa sajalah
Kali ni kami masak tauhu lembut kukus 
Rencahnya daging kisar
Bersama ni kami titipkan resepinya....
Boleh cuba kalau suka....







   Sedap dihidangkan bersama nasi panas ataupun bubur Nasi 





TAUHU LEMBUT KUKUS BERSAMA DAGING KISAR

Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen )



Bahan A

1 keping tauhu lembut


Bahan B

2 sudu besar minyak masak
2 ulas bawang putih - dicincang halus

1 inci halia- di hiris nipis

1/2 biji bawang holland- dicincang halus

1/2 sudu teh serbuk lada sulah


Bahan C

Digaulkan bersama

1/2 cawan daging kisar

1 sudu besar tepung jagung

1/2 sudu teh garam


Bahan D

Digaulkan bersama

2 camca besar sos tiram
2 camca teh kicap pekat
1/2 camca teh minyak bijan
1/4 cawan air


Bahan E

Daun sup dan daun bawang - dihiris halus


Letakkan tauhu diatas bekas tahan panas

Didalam kuali panaskan 2 sudu besar minyak

Tumiskan Bahan B hingga layu dan wangi

Masukkan Bahan C , kacau hingga daging agak kering

Masukkan Bahan D dan masakan hingga mendidih

Curahkan keatas tauhu dan kukus selama 5 hingga 10 minit

Hiaskan dengan Bahan E

Hidangkan panas








   Kali ni kami letakkan daun kucai dan cili padi





Tip kami:

Boleh dikukus dahulu tauhu kemudian barulah dicurahkan sos keatasnya 




APAM KAMPUNG









  Apam kampung



Teringat dulu-dulu
Kemain susah lagi kalau nak makan apam
Kami orang kedah panggei apom
Kena buat ibu dulu...
Kena peram ibu roti dengan tepung dua hari 
Sampai berbuih- buih dan berbau sangat masam
Mak kami simpan ataih para...
Letak dalam mangkuk ayan lapik dengan pinggan ayan yang berisi air
Takut semut dok pi hurung...
Dua hari lepaih tu barulah jadi apom...
Baru boleh buat menyorok aka sarapan pagi...
Lupa pulak nak bagitau...
Kami guna tepung beras yang dikisar guna lesung kisar
Berjam-jam nak habiskan setakat dua pot susu beras
Lenguh tangan kebas buntut nak menyiapkannya...
Sekarang mudah....
Koyak plastik terus dapat tepung...
Peram guna mauripan kejap aja dah naik tinggi 
Terus boleh kukus 
Dalam masa 2 jam dah boleh makan apam
Mudah dan senang....
Kali ni kami buat apam guna tepung gandum
Ceduk ilmu dari puan Yatie pakar KUIH MELAYU
Cantik dan molek sungguh kejadiannya 
Kami sangat berpuashati dengan teksturnya dan rasanya
Oleh itu....
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka....





  Perasa pandan 




APAM KAMPUNG
Resepi asal : blog yatie memories
Diolah oleh : Aniza Little Kitchen

Bahan A 
2 sudu kecil rata yis mauripan
1/4 cwn air suam
1 sudu kecil gula halus

Bahan B
2 cwn tepung gandum
1/2 cwn gula pasir
1 1/4 cawan air
secubit garam 
1 sudu kecil perisa pandan
1 sudu kecil pewarna hijau


Satukan bahan A, kacau rata dan biarkan 5 minit atau sehingga berbuih.
Satukan bahan B dlm mangkuk besar dan gaul rata.
Masukkan bahan A tadi. Gaulkan, setelah sebati, tutup dan biarkan perap selama 1/2 jam.
Lenserkan loyang  9x9x3 inci dngn sedikit minyak, gaulkan lagi adunan tadi sebati dan tuangkan adunan ke dlm loyang dan biarkan selama 1/2 jam lagi. Kukus adunan selama 40 minit.
Biarkan kuih  betul-betul sejuk barulah di potong dngn menggunakan pisau tajam dngn cara spt gergaji kedepan ke belakang supaya kuih tak kelihatan mampat.
Sedap di makan bersama kelapa parut putih yg di gaul dngn sedikit garam.






   Perasa ros





Tip tambahan dari Puan Yatie:
Selalunya saya gaul sebati adunan, kemudian perap 1/2 jam. Setelah setengah  jam, saya gaul rata lagi, barulah tuang dlm loyang yg telah di gris minyak. Saya perapkan lagi dlm 1/2 jam dan terus kukus dlm 40 minit. Saya buat mcm ni supaya apam ni naik cantik dan halus je texture nya. Kalau kita terus tuang kat loyang dan perap, kemudian kukus, apam naik tinggi tapi texture nya kasar. Terpulang pada selera masing-masing ya.
Jangan biarkan adunan apam terlebih naik, nanti apam rasa masam dan menurun bila di kukus. 
Kalau mahukan apam naik tinggi sikit, guna loyang 8 inci utk adunan ni.
Kalau guna acuan seperti di atas, kukus selama 20 minit. Sebelum tuang adunan, sapukan sedikit minyak di sekeliling acuan. 











ONDEH-ONDEH BIJAN AKA KUIH BOM INTI KACANG HIJAU









   Ondeh-ondeh bijan



Ada yang panggei ondeh-ondeh
Ada yang dok sebut kuih bom
Ada yang kata namanya kuih bijan
Ada yang letak inti nyior atau kelapa
Ada suka inti kacang tanah
Kami orang kedah suka letak inti kacang hijau
Pada kami semuanya sedap belaka
Ada yang letak ubi keledek 
Ada yang letak kentang
Ada juga yang campurkan tepung beras
Semua ok...
Semua kena belaka...
Ondeh- ondeh yang sedap pada kami 
Kulitnya lembut tapi tak berminyak
Intinya manis dan berlemak
Kami suka kulitnya yang sedikit gelap 
Paling gemar inti kacang hijau
Sebab tu kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...,





    Ondeh-ondeh inti kacang hijau



ONDEH-ONDEH BIJAN
Resepi : Aniza Little Kitchen ( Aniza Saidin)

Bahan A
Diayak bersama
2 1/2 cawan tepung pulut
2 sudu besar  tepung gandum

Bahan  B
Dicampurkan sebati
1 cawan air suam
2 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam

Bahan C
Bijan secukupnya
Inti kacang hijau atau inti kelapa atau inti kacang tanah 

Masukkan Bahan B kedalam Bahan A dan uli hingga sebati
Kalau keras boleh ditambahkan sedikit air lagi
Ambil sedikit adunan leperkan, masukkan inti dan tutup dengan kemas
Bulatkan atau bentukkan ikut kesukaan
Golekkan diatas bijan hingga menutupi semua permukaan tepung
Buat hingga siap semuanya
Rehatkan selama 30 minit
Goreng dengan minyak yang banyak, gunakan api yang sederhana panas hingga keperangan
Toskan minyak dan sedia dihidangkan




   
     Extra garing



Inti kacang hijau
500 gm kacang hijau - direndam semalamam 
1 1/2 cawan gula pasir
1 keping gula melaka
1 helai daun pandan
1/2 cawan minyak masak
Cara-cara
Kacang hijau di rebus sehingga empuk dan lembut
Boleh gunakan pressure cooker
Masukan gula pasir, gula melaka, minyak masak dan daun pandan. Masak lagi sehingga pekat 
Sejukkan


Tip kami :
Jangan digoreng terus kuih sesudah siap. Biarkan anggaran 1 jam untuk mengelakkan kuih meletup











Monday, 23 May 2016

KETAM BERSOS PLUM





     





KETAM BERSOS PLUM
Resepi : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)

Bahan A
3 ekor ketam -dibersihkan dan dipotong 2
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh garam

Bahan B
Dikisar bersama
3 ulas bawang putih
I biji  bawang besar
1" halia

Bahan C
2 sudu cili kisar

Bahan D
2 sudu sos tomato
1 sudu sos tiram
3 sudu sos plum- kami guna jenama life
3/4 cawan air
Garam secukup rasa
Minyak untuk mengoreng

Satukan bahan A hingga rata dan letakkan ketam didalam loyang
Kukus hingga ketam masak dan toskan,simpan air lebihan ketam tadi
Panaskan minyak dalam kuali goreng ketam sebentar , tak perlu lama sebab ketam sudah masak
Keluarkan lebihan minyak dan tinggalkan anggaran 3 sudu besar
Tumiskan bahan B, kacau hingga wangi dan agak garing
Masukkan pula bahan C, kacau hingga cili garing
Masukkan bahan D dan air ketam tadi
Biarkan agak pekat baru dimasukkan ketam 
Kacau sebentar dan sedia dihidangkan










Tip kami :
Selepas dikukus bolehlah disalut ketam dengan sebiji telur yang dipukul sedikit dan golekkan di atas tepung jagung barulah digoreng, proses ini akan menghasilkan kulit ketam yang rangup
Boleh juga dimasukkan sebiji telur didalam kuah yang mendidih , dikacau sebentar barulah di curah di atas ketam tadi.





Sunday, 22 May 2016

NASI AYAM WARISAN

P



Nasi ayam warisan 



Kami belajar masak Nasi ayam masa berumur 13 tahun
Jiran sebelah rumah kami dikampung Kak Zah sangat pandai masak Nasi ayam 
Sedap sungguh tapi Mak kami jarang masak Nasi Ayam sebab tak berapa suka dengan baunya
Bila kami dah kahwin kami selalu masak Nasi Ayam untuk Suami dan anak-anak
Ambil resepi dari kawan office Miss Wong cara masak nasi ayam Chinese style
Semuanya ada keistimewaan tersendiri 
Kami cuba semua cara dan campur adunkan samapilah kami puashati dengan rasanya
Resepi ni yang paling kami suka...
Nasinya lembut dan tak berminyak 
Ayamnya pun sangat sedap
Secukup rasa....
Apapun kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...







Nasi ayam yang lembut dan bewarna kuning keemasan 




NASI AYAM WARISAN
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little Kitchen)

Bahan A
1 ekor ayam -melebihi 2kg beratnya 
1 inci halia - diketuk
4 ulas bawang putih - diketuk
Air secukupnya 
Ayam boleh dipotong 4 atau dibiarkan seekor terus
 
Bahan B
Untuk perapkan ayam
3 ulas bawang putih - ditumbuk halus
1 inci halia - ditumbuk halus
2 sudu besar madu
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1 sudu kecil minyak bijan - kalau suka

Bahan C
4 cawan beras
1/2 sudu teh serbuk kunyit
3 ulas bawang putih
1 inci halia
I kiub pati ayam 
2 helai daun salam atau bay leaves
1 helai daun pandan
Lemak ayam - kalau suka atau gantikan dengan 2 sudu mentega
4 cawan air rebusan ayam
3 butir gula batu
1 sudu kecil garam

Bahan D
Untuk Sup
2 ulas bawang merah - dimayang halus
2 ulas bawang putih- dimayang halus
Sedikit halia- diketuk
Air rebusan ayam
Garam secukup rasa
Daun sup, daun bawang dan bawang goreng

Bahan E
Untuk sambal merah
4 biji cili merah - dibuang biji ha
4 biji cilipadi merah
2 ulas bawang putih
Sebesar hujung jari halia
2 sudu besar sos cili
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu teh jus limau atau cuka makan
1/2 cawan air rebusan ayam

Bahan F
Untuk kuah kicap
1/4 cawan sup
1 sudu besar kicap 


Rebus air hingga mendidih bersama halia dan bawang putih 
Masukkan  ayam dan rebus dengan api yang kuat anggaran 5 hingga 6 minit
Kalau seekor ayam rebus anggaran 10 hingga 12 minit.
Tutup periuk semasa merebus dan pastikan ayam tenggelam sepenuhnya
Toskan ayam diatas jaring dan simpan air rebusan untuk memasak nasi nanti
Satukan semua bahan B dan gaulkan hingga rata pada ayam yang sudah ditoskan tadi
Perapkan anggaran 15 hingga 30 minit
Boleh digoreng atau dibakar
Rendamkan beras bersama serbuk kunyit anggaran 15 minit dan toskan
Panaskan periuk dan masukkan lemak ayam
Tunggu hingga lemak mencair, tumiskan halia serta bawang putih hingga wangi
Masukkan daun salam dan daun pandan
Masukkan beras dan air rebusan asam serta kiub pati ayam dan garam
Pindahkan ke rice cooker dan masak seperti biasa
Untuk supnya pulak
Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi
Masukkan air rebusan ayam
Masukkan garam secukup rasa dan masak hingga mendidih
Masukkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng semasa menghidang
Untuk sambal merah
Kisarkan cili, bawang putih serta halia
Masak dengan api perlahan bersama bahan lainnya







Ayam yang dipanggang







Kami potong empat ayam ni...senang sikit proses nak merebus



















Thursday, 5 May 2016

ASAM PEDAS MELAKA BEREMPAH


Asam pedas kegemaran En. Suami kami
Tak menolak kalau menu asam pedas
Tapi kena pekat dan likat
Ada pula sambal belacan dan telur masin dan sedikit ulaman
Cukuplah buat makan nasi bertambah-tambah
Asam pedas kami ada berbagai versi
Kami dah cuba berbagai cara memasak asam pedas
Semua kami suka.....
Yang letak daun kari, yang daun purut dan daun kesum
Semuanya ada keistimewaan sendiri
Ada yang letak halia dan lengkuas
Ada yang cuma serai diketuk
Yang ada cuma cili dan bawang....

Asam pedas daging tetel salah satu kegemaran keluarga kami juga
Dulu kami ada titipkan resepinya 
Kalau ada yang teringin nak mencuba bolehlah selongkar gobok lauk pauk kami ni...
Kebetulan ada beli ikan jenahak masa balik kola selangor hari tu...
Kepalanya dah kami jadikan kari pekat...
Ekornya dah selamat dimasak sup...
Teringin pula nak masak asam pedas melaka yang berempah ni...
Pernah makan masa singgah dirumah jiran yang mak mertuanya orang Melaka
Sedap sangat masak asam ikan merahnya....
Ringan mulut kami bertanyakan resepinya
Terima kasih banyak-banyak Mak Teh sudi kongsikan resepi ni dengan kami...
Semoga menjadi ilmu yang bermenafaat...
Bersama ini kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka...






 
Asam pedas berempah ikan Jenahak



ASAM PEDAS BEREMPAH IKAN JENAHAK
Resepi : Aniza Little Kitchen

Bahan A
4 sudu besar minyak
I sudu teh halba
2 batang serai - dititik 

Bahan B
Dikisar halus
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

Bahan C
4 sudu besar cili giling
1/2 sudu teh belacan
1/4 sudu teh serbuk ketumbar
1/4 sudu teh serbuk jintan manis
1/4 sudu teh serbuk jintan putih 
1/2 cawan air
  
Bahan D
1 sudu teh pes asam jawa
2 cawan air
Garam dan gula secukupnya

Bahan E
2 ketul ikan jenahak
2 helai daun limau purut atau daun kesum
1 batang bunga kantan
Bendi, tomato dan terung

Tumiskan bahan A hingga garing dan wangi
Masukkan  bahan B, tumis lagi hingga wangi
Masukkan pula bahan C, masak hingga wangi dan garing. Tambah air kalau perlu
Masukkan bahan D, biarkan hingga mendidih
Masukkan ikan dan kuatkan api selama 5 minit
Masukkan sayuran dan biarkan hingga masak








Pekat dan likat





Tip kami : kalau tak suka asam pedas yang berempah, tidak perlu diletakkan jintan dan ketumbar
Boleh juga dimasukkan daun kesom untuk menggantikan daun limau purut
Terung seeloknya digoreng sebentar untuk menambahkan rasa
 
Cadangan hidangan
Sedap dimakan bersama nasi panas , telur masin , sambal belacan dan ulaman.
Bendi boleh dicelur berasingan dan diletakkan semasa menghidang ataupun dijadikan ulam
Sedap juga digandingkan bersama telur dadar dan kacang panjang goreng bertelur.