Wednesday, 23 November 2016

NASI DAGANG TERANGGANU, GULAI IKAN TONGKOL DAN IKAN PERCIK









   Nasi dagang Terangganu, gulai ikan tongkol dan ikan percik





Nasi dagang yang menjadi kegemaran kami 
Bukan semua rakyat jelata didalam rumah kami menyukainya
Kata anak soleh Nayib Ali, tak suka pada bau dan rasa halba
Tapi anak soleh boleh terima pulak halba yang dimasukkan dalam kari 
Kami lebih menggemari nasi dagang Terangganu berbanding Kelantan
Mungkin sebab ada pulut didalamnya....
Sebab kamikan peminat pulut nombor satu 
Tapi kalau dihidangkan nasi dagang Kelantan , kami tak akan menolak
Pertama kali merasa nasi dagang Terangganu semasa berumur 12 tahun
Dimasak oleh aruah Mak Angkat kami Mak Cik Mek... Al fatihah
Mak Cik Mek orang kelantan tetapi suka masak Nasi dagang Terangganu 
Di kawankan dengan gulai ikan kembung
Nasi dagang dan gulai yang paling sedap kami pernah rasa setakat ni...
Kami cuba ceduk sedikit ilmu dengan Mak Cik Mek 
Tapi tak dapat nak praktiskan dirumah
Ye lah kan...kami baru berumur 12 tahun masa tu dan ada dua orang lagi kakak 
Peluang berekperimen didapur memang kurang sangat la
Lagipun masa tu kehidupan kami agak susah
Mana Mak nak kasi kami mencuba macam-macam
Risau karang tak jadi kan membazir bahan makanan


Bila berkahwin barulah kami berpeluang mencuba semua menu kegemaran kami
Antaranya Nasi dagang Terangganu ni
Alhamdulillah kami dijodohkan Allah dengan seorang suami yang sangat tak creeper tentang makanan
Lagilah mudah kami mencuba segala menu dan resepi kesukaan
Setelah mencuba beberapa kali, kami suka dengan resepi yang satu ni
Lebih kurang sama rasanya dengan Nasi dagang Mak Cik Mek 
Bersama ini kami titipkan resepinya...
Boleh cuba kalau suka....







   Nasi Dagang kegemaran kami 





NASI DAGANG TERANGGANU
Sumber : Norfanil.com
Resepi  : Aniza Saidin ( Aniza little kitchen )

BAHAN UNTUK NASI
Bahan A
Direndam semalamam atau sekurang - kurangnya 4 jam
4 cawan beras Jati
1 cawan beras pulut

Bahan B
Campurkan semua dan gaul rata
3 cawan santan cair 
2 ulas bawang merah - dihiris nipis
1 inci halia - dihiris batang mancis 
1 sudu teh biji halba
Sedikit gula dan garam

Bahan C
1 cawan santan pekat


Toskan dan tapiskan Bahan A, masukkan kedalam kukusan dan kukus Bahan A  selama 20 minit 
Angkat dan masukkan semua nasi ke dalam besen yang agak besar dan gaulkan dengan separuh Bahan B, biarkan seketika hingga semua santan meresap kedalam nasi 
Proses ini mesti dilakukan semasa nasi masih panas
Gaulkan lagi bersama semua santan cair. Biar  seketika dan masukkan semula nasi kedalam kukusan
Kukus lagi selama 20 minit, angkat nasi untuk kali kedua dan gaulkan dengan santan pekat hingga rata. 
Tak perlu habiskan jika nasi nampak sudah elok lembutnya.
Sedia dihidangkan bersama gulai ikan dan telur serta acar campur



UNTUK GULAI IKAN TERANGGANU
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan A
Direbus bersama dengan sedikit air
1 kilo ikan tongkol hitam 
4 keping asam gelugur 
Sedikit garam dan gula

Bahan B
100 gram daging - dipotong dadu
1 1/2 liter santan

Bahan C
Dikisar bersama 
2 hiris lengkuas 
1 hiris halia
1 biji bawang besar 
3 ulas bawang putih 

Bahan D
1 sudu serbuk ketumbar
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk  jintan putihA
3 sudu cili kisar
1 paket rempah gulai cap Bunga Ros -15 gram 
1 batang kulit kayu manis
1 sudu besar kerisik
1/2 buku kecil gula melaka.
Sedikit Belacan

Bahan E
5 biji telur ayam - direbus dan dikopek
10 biji cili padi
sedikit garam


Masak Bahan B hingga terbit minyak.
Masukkan Bahan C dan Bahan D dan renihkan dengan api perlahan hingga mendidih agak lama
Masukkan Bahan A beserta air rebusan. Keluarkan asam keping dari rebusan untuk mengelakkan kuah gulai menjadi masam . Masukkan juga telur ayam yang telah di kelar terlebih dahulu
Masak hingga kuah agak pekat ikut kesukaan 
Masukkan cili padi dan juga garam secukup rasa
Sedia dihidangkan bersama nasi dan acar campur


ACAR CAMPUR
1 batang karot - dihiris memanjang
1 batang timun - dihiris memanjang
1 biji tomato - dihiris serong dan nipis
1 labu bawang besar - dihiris halus
1 biji cili merah - dihiris serong
1 tangkai daun ketumbar - dipotong kasar
1 sudu besar gula
1 sudu besar cuka
1 sudu teh garam

Gaul semuanya dan rasakan masam, manis dan masinnya






     Ikan percik yang sangat sedap dan wangi


IKAN PERCIK TERANGGANU
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little kitchen)

Bahan A
Digaul rata dan dibiarkan sebentar
3 ekor ikan Ikut kesukaan - dikelar sedikit
Sedikit garam dan kunyit
3 batang lidi sate

Bahan B
1 cawan santan pekat - dari 1/2 biji kelapa 

Bahan C
Dikisar bersama
10 biji cili kering - dipotong dan direndam air panas
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 batang serai - dihiris halus
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
4 sudu besar bawang goreng

Bahan D
1 sudu besar tepung beras
1 keping asam gelugur
Garam dan gula secukup rasa

Masukkan Bahan B kedalam periuk atau kuali dan biarkan hingga pecah minyak
Kacau sekali -sekala. Masukkan pula Bahan C dan masak lagi hingga agak pekat.
Akhir sekali tambahkan Bahan D, dan masak hingga mendidih
Kuah ikan percik mesti mempunyai rasa yang sedikit manis
Cucukkan tengah ikan dengan lidi untuk mengelakkan ikan patah semasa proses membakar nanti. Bakar Bahan A ikut kesukaan. Lebih sedap kalau menggunakan arang
Bakar hingga separuh masak dan lumurkan dengan kuah yang telah disediakan tadi
Simpan sedikit kuah untuk digunakan semasa menghidang nanti.
Bakar semula sebentar saja. Hidangkan ikan percik dengan mengeluarkan lidi dari ikan dan 
curahkan kuah keatas ikan tadi. 
Boleh dimakan dengan nasi putih atau Nasi Kerabu dan Nasi Dagang 



Tip kami :
Kukus lagi sekali nasi untuk nasi tahan lebih lama, tapi kalau terus dihidangkan lebih sedap tidak dikukus
Perah santan dengan air masak untuk santan arungan nasi kali kedua
Masukkan daging semasa merebus santan untuk gulai merupakan petua dari tukang masak istana untuk mendapatkan rasa gulai yang sedap


Alhamdulillah 










No comments:

Post a Comment