Masala kambing ala Pakistan
Bukanlah menu yang selalu kami masak
Kalau beli daging kambing, kami lebih suka buat lamb chop
Sebab itu menu kegemaran seluruh isi rumah
Ataupun kami akan masak kari pekat
Pun sangat sedap dimakan bersama nasi atau roti
Sesekali nak ubah selera kami akan masak masala kambing ni...
Sedap dimakan bersama capati atau roti pratha
Tak mau cerita panjang ...
Kami titipkan resepinya disini...
Boleh cuba kalau suka
Sedap dimakan bersama capati
MASALA KAMBING ALA PAKISTAN
Sumber : Blog Resepi Masakanku
Puan Fatimah Saidin
Resepi Asal : Chef Omri Shahar dari Pakistan
Diolah dari resepi Chicken Tikka Masala
Diolah oleh : Aniza Saidin
Bahan A
1 kilo daging kambing
Air secukupnya untuk merebus
Bahan B
3 sudu besar minyak masak
1 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
2 biji bawang besar dipotong dadu
3 inci halia - ditumbuk lumat
6 ulas bawang putih - ditumbuk lumat
Bahan C
2 sudu makan serbuk jintan putih
2 sudu makan serbuk ketumbar
2 sudu makan serbuk paprika
1 sudu makan serbuk cili atau cayyenne
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam masala
1 sudu teh serbuk buah pala
Bahan D
2 sudu makan tomato puree
2 biji buah tomato dicincang
Bahan E
Secawan santan / secawan susu / secawan tairu (pilih salah satu)
Garam secukup rasa
Bahan F
Daun ketumbar
Daun bawang
Cili merah
Seperti biasa, masuk dapur bacalah doa memudahkan kerja :
"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana minanrina rashada "
Pasang api bacalah do a ini
" Allahhumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"
Rebus daging kambing sehingga empuk. Ketepikan
Panaskan minyak. Tumiskan kulit kayu manis dan buah pelaga sehingga naik bau. Kemudian masukkan bawang besar dan kacau perlahan sehingga wangi.
Masukkan halia dan bawang putih yang telah ditumbuk.
Kacau perlahan sehingga garing. Seterusnya masukkan bahan C dan sedikit air.
Kacau perlahan sehingga pecah minyak,masukkan pula Bahan D
Seterusnya masukkan Bahan A yang sudah direbus tadi
Kacau lagi sehingga mendidih
Akhir sekali masukkan santan/susu atau tairu
Masak sehingga kuah pekat dan tutup api
Taburkan daun ketumbar, daun bawang dan cili semasa menghidang.
Boleh dimakan bersama nasi putih, nasi hujan panas, nasi minyak atau nasi beriani.
Capati banjir....
Kami titipkan satu lagi resepi masala
Dua-duapun kami suka
Masak ikut kesesuaian bahan dirumah
Janji menepati rasa dan selera keluarga
Kambing masala dan capati
KAMBING MASALA
Sumber : Editorial Rasa
Resepi : Aniza Saidin (Aniza little Kitchen
Bahan A
1/2 kg kambing/tulang/rusuk - dipotong kiub
3 sudu besar serbuk cili
Bahan B
3 sudu besar minyak masak
4 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
Bahan C
2 tangkai daun kari
2 biji bawang besar - dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
3 biji bawang besar - dibelah empat
5cm halia - dihiris
Bahan D
½ tin susu cair ideal
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Panaskan minyak masak di dalam periuk. Tumis bunga lawang, buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga cengkih sehingga wangi.
Kemudian masukkan daun kari, bawang putih, bawang besar yang dikisar dan dibelah empat dan halia sehingga wangi.
Masukkan Bahan A, kacau rata dan biarkan empuk. Tambah sedikit air sekiranya perlu
Masak anggaran sejam.
Bila sudah agak empuk, masukkan susu cair tadi dan garam secukup rasa
Kacau rata dan masak sehingga mendidih dan pekat
Angkat dan sedia dihidangkan.
Sekiranya banyak menggunakan daging kambing, halia harus diletakkan banyak sedikit bagi menghilangkan baunya. Susu boleh diganti dengan 1 biji kelapa diambil santannya.
Kami suka renjiskan minyak zaitun diatas capati yang masih panas
Kami titipkan juga resepi capati
Walaupun dah pernah titipkan dulu
Tak apalah...tak menyusahkan nak mencari disana sini
Cubalah....
Mana tau kut-kut menepati selera
Capati yang lembut resepi mamak haji....
CAPATI
Resepi asal : Mamak Haji
Diolah: Aniza Saidin ( Aniza little kitchen)
Bahan
2 cawan tepung atta.
2 sudu minyak masak (kami gantikan dengan olive oil )
1 cawan air suam
Garam secubit rasa
Masukkan tepung dalam sebuah bekas dan buatkan lubang ditengahnya.
Masukan air suam yang telah dicampurkan garam.
Uli selama 3 hingga 4 minit menjadi doh yang lembut.
Masukan minyak masak dan uli kembali untuk mendapatkan permukaan doh yang licin dan lembut.
Bahagikan doh kepada 12 bebola kecil. Bebola yang bulat sempurna boleh dihasilkan dengan rollkan menggunakan kedua-dua tapak tangan dengan beralas sedikit tepung. Jika bebola ini melekit ditangan semasa membentuk bola, uli semula doh dengan tambah sedikit tepung kemungkinan doh terlalu lembik. Biarkan bebola yang telah siap selama 30 minit dalam bekas yang ditutup dengan kain lembab.
Ambil bebola capati ini leperkan sedikit di tapak tangan anda dan celup kan sedikit tepung (boleh gunakan tepung beras) sebelum diletakan dalam papan lenyek. Leperkan permulaan dengan 90 darjah, memanjang 6 inci panjang. selepas itu pusingkan doh itu ke 45 darjah dan leperkan juga sepanjang 6 inci. Selepas 45 darjah sekali sepanjang 6 inci. Hasilnya anda akan dapat capati yang bulat sekata 6″. Sebelum anda tindihkan capati yang belum dimasak, sapukan sedikit tepung ke atas permukaan supaya kepingan itu tidak melekat satu sama lain.
Panaskan kuali leper atau pun kuali tak melekat (Non- Stick Pan). Jangan terlalu panas dan api sedang sedang memadai . Sebelum masukkan capati yang belum masak itu untuk dibakar di atas kuali leper, tepuk sedikit diantara dua tapak tangan supaya tepung yang berlebihan disapukan semasa leperkan akan gugur. Tepung ini perlu dinyahkan apabila dimasak di atas kuali kerana tepung ini akan bakar dan memberi bau dan rasa yang pahit pada capati. Bakar di atas kuali dan masak (bakar kering) semasa bakar itu anda perlu mengenakan tekanan sedikit menggunakan kain yang tebal pada gelembung yang mula-mula naik. Kami tekan pelan-pelan guna sudip
Putarkan sentiasa capati itu supaya ia masak serata. Terbalikan dan bakar sebelah lagi, seperti yang diterangkan.
Sebelum membakar capati yang seterus, bersihkan tepung yang berlebihan yang telah hangus supaya capati tersebut tidak melekat pada capati yang belum masak. Masa pembakaran capati cuma seminit dan diterbalikan dan bakar seminit . Keseluruhan masa pembakaran cuma 3 minit.
No comments:
Post a Comment